fbpx

Johor Port sumbang RM1 juta kepada UTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis penyerahan sumbangan RM1 juta daripada Johor Port untuk Tabung Endowmen UTM yang diadakan secara maya semalam.

PETALING JAYA – Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, telah menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Tabung Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tabung Endowmen ditubuhkan untuk membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik tetapi menghadapi kesukaran untuk membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup mereka.

Tabung tersebut telah dibangunkan pada tahun 2013 dan jumlah yang terkumpul kini adalah sebanyak RM8 juta.

Dana itu telah dilaburkan di dalam simpanan tetap rendah risiko dan patuh syariah serta hibah pelaburannya telah digunakan untuk membantu 21 pelajar UTM yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan daripada keluarga B40 melalui pemberian Biasiswa Endowmen Al-Bukhary.
Sehingga kini, sebanyak 12 pelajar penerima Biasiswa Endowmen Al-Bukhary telah berjaya menamatkan program pengajian masing-masing
dengan cemerlang.

Pengerusi Johor Port merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pendidikan merupakan aset penting untuk mengubah taraf kehidupan dan ia mampu mengubah masa depan seseorang menjadi lebih baik.

“Saya percaya dengan adanya kerjasama antara syarikat korporat dan universiti, ia akan dapat membangunkan dan memperkasakan modal insan yang berkua­liti tinggi, berkemahiran, berpen­getahuan, kreatif dan inovatif.

“Seterusnya ia dapat membangunkan negara ke arah lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Majlis penyerahan sumbangan itu telah diadakan secara maya semalam.

Pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir telah menye­rahkan cek kepada Naib Canselor, UTM, Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Selain itu, Md Derick me­nerangkan, pihaknya berasa gembira kerana sumbangan Kumpulan telah membantu pelajar yang memerlukan dan secara tidak langsung dapat membantu negara untuk melahirkan bakat muda berprestasi tinggi.

“Kami percaya bahawa bakat berprestasi tinggi adalah elemen terpenting menuju kejayaan organisasi dan kami gembira dapat memainkan peranannya melalui sumbangan kami kepada Tabung Endowmen UTM,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi menjelaskan, bagi menghargai sumbangan Johor Port, UTM te­lah menamakan Pusat Teknologi Marin UTM sebagai UTM-Johor Port Marine Technology Centre.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI