fbpx

MoU TNB, Elia Group dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Elia Group SA/NV (Elia), salah satu daripada o­perator sistem penghantaran terbesar di Eropah bagi berkongsi amalan terbaik dan pengetahuan untuk mempercepatkan usaha TNB ke arah peralihan tenaga serta tenaga boleh baharu (RE).

MoU pertama antara kedua-dua belah pihak ditandatangani pada September 2017 dan tamat pada September 2020.
Elia adalah operator sistem penghantaran yang beroperasi di Belgium dan Jerman yang ber­khidmat kepada hampir 30 juta pelanggan.

Ia memiliki lebih 19,000 kilometer talian voltan tinggi di Belgium dan Jerman serta lebih 45,000 megawatt (MW) kapasiti terpasang dalam RE.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, MoU 2.0 yang ditandatangani Jumaat lalu bagi tempoh dua tambah satu tahun itu dimeterai pada waktu yang amat penting selepas TNB melakukan penjajaran semula pada pertengahan penggal.

“Ia dilakukan bagi memastikan Kumpulan sentiasa berada pada landasan yang betul untuk menghadapi perubahan pantas dari sudut alam sekitar dan reformasi industri bekalan elektrik negara.

“TNB akan melabur dalam jumlah yang besar dalam bidang RE dan menetapkan fokus Kumpulan terhadap penjanaan rendah karbon selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Baharin, TNB menerusi bahagian grid akan memberi keutamaan terhadap pelaburan memodenkan grid kebangsaan agar ia menjadi grid masa hadapan yang berdaya harap, berdaya tahan terhadap gangguan, pintar serta fleksibel untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

“Terdapat banyak perkara yang boleh dikongsi Elia, terutamanya bagi mencapai kejayaan dalam peralihan tenaga dari sudut RE, memandangkan TNB akan mengintegrasikan sejumlah besar RE pada masa hadapan.

”Mou baharu ini dimeterai berdasarkan memorandum persefahaman terdahulu, namun memberi penekanan yang lebih berstruktur terhadap usaha pelaksanaan bagi mendapatkan hasil lebih baik, merangkumi kecemerlangan operasi, trend masa hadapan, kerangka kawal selia, hala tuju baharu operasi sistem, dan usaha sama perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Elia, Chris Peeters berkata, Elia dan TNB adalah rakan sekutu yang berdepan cabaran serupa.

“Kedua-dua entiti ini amat komited terhadap peralihan tenaga dan sedang giat berusaha ke arah mencapai strategi pertumbuhan antarabangsa.

“Kami akan maju ke hadapan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, jadi adalah bertepatan untuk kami meneruskan kerjasama ini melalui perkongsian amalan terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI