fbpx

Geng mat rempit jadi penggali kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BENTONG – Penularan Covid-19 telah mengubah sikap sekumpulan mat rempit untuk berhijrah ke arah kerja yang mulia dengan menjadi penggali kubur.

Kebanyakan mereka yang berumur 20-an itu sebelum ini sering menghabiskan masa melepak di kedai motosikal untuk mengubah suai kenderaan.

Namun, kumpulan yang dikenali sebagai Unit Angkasawan Sertik itu kini giat me­lakukan kerja-kerja menguruskan pengebumian jenazah mangsa Covid-19 di sekitar Felda Sertik di sini.

Mohamad Zainon, 47, berkata, dia dan rakan-rakan lain yang berusia 20-an membuat keputusan menjadi penggali kubur jenazah Covid-19 susulan keperluan tenaga kerja bagi menguruskan jenazah pesakit tersebut di kawasan itu.

“Jika berlaku kematian akibat Covid-19, tidak ramai yang berani menguruskan jenazah. Jadi, saya bertanyakan kepada budak-budak motor dan mengajak mereka menyertai unit ini dan mereka terus bersetuju.

“Jika dahulu kami sama-sama setting motosikal di lebuh raya, tetapi kini semua telah sama-sama menjadi penggali kubur,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dengan bimbingan Jabatan Kesihatan dan juga Pengerusi Unit Angkasawan Sertik, Amel Saad, 60, yang berpe­ngalaman dalam menguruskan kes kematian, mereka kini mampu melaksanakan tugas itu dengan baik dan lancar.

Sementara itu, Amel yang juga Bendahari Khairat Kematian Felda Sertik berkata, sehingga kini sebanyak tujuh jenazah pesakit Covid-19 telah diuruskan oleh unit berkenaan.

Ujarnya, pengebumian jena­zah di tanah perkuburan Islam Felda Sertik dilakukan tanpa menggunakan jengkaut memandangkan jentera itu tidak dapat melalui kawasan tanah perkuburan itu yang agak sempit.

“Memang agak penat kerana terpaksa mencangkul dalam keadaan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap.

“Saya pun akan berhenti sekejap selepas lima minit mencangkul, tetapi orang-orang muda ini boleh sampai 10 minit tanpa henti,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI