KOTA SAMARAHAN – Seorang anggota tentera berpangkat koperal udara menembak mati tiga rakan setugasnya sebelum membunuh diri dalam kejadian di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini semalam.
Insiden ngeri di luar jangkaan kira-kira pukul 7.50 pagi itu berlaku ketika anggota tersebut datang ke balai pengawal kem berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal sebelum merampas selaras raifal jenis Colt M4 di tempat simpanan senjata api.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Mancha Anak Ata berkata, salah seorang anggota yang berada di lokasi berkenaan cuba menenangkan suspek, namun suspek telah melepaskan tembakan yang mengenai perut mangsa.
Katanya, suspek kemudian telah memasuki bahagian bilik rehat sebelum menembak seorang lagi rakannya di bahagian sisi dada sebelah kanan menyebabkan anggota berkenaan mati di tempat kejadian.
“Suspek turut menembak seorang lagi rakan setugasnya di bahagian belakang sebelum dia sendiri membunuh diri dengan menembak bahagian bawah dagu menembusi otak,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Mancha, kejadian itu menyebabkan tiga anggota maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di Hospital Jantung, Kota Samarahan kira-kira pukul 9.20 pagi.
Susulan kejadian itu katanya, pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak telah bergegas ke tempat kejadian dan kesemua mangsa telah dibawa untuk bedah siasat.
Selain suspek, tiga anggota yang terkorban dalam kejadian itu masing-masing berpangkat koperal udara dan laskar udara.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail mengesahkan bahawa kejadian di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM itu berlaku ketika waktu serah tugas.
“Siasatan awal mendapati kejadian tembakan berlaku ketika masa serah tugas apabila salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya menggunakan selaras raifal sebelum bertindak menembak diri sendiri,” katanya.
Jelasnya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan dan polis turut mengenal pasti saksi-saksi yang berada di lokasi bagi diambil keterangan untuk membantu siasatan.
“Selain mendapatkan keterangan daripada saksi terlibat, pihak polis turut merampas selaras raifal jenis Colt M4 yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menembak tiga rakan sekerjanya sebelum menembak diri sendiri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan bahawa terdapat lima anggota yang masing-masing tiga koperal udara dan dua laskar udara sedang berada di Balai Pengawal berkenaan ketika kejadian berlaku.
Suspek juga dikatakan telah meluru masuk ke dalam balai pengawal sebelum mengambil selaras senjata api menyebabkan anggota lain terkejut.
Suspek kemudiannya bertanya; “Nak hidup atau mati?” sebelum melepaskan tembakan apabila salah seorang anggota berpangkat koperal cuba untuk menenangkannya.














