fbpx

Vaksinasi selamatkan lebih 84,000 nyawa di England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 di sebuah pusat vaksinasi sementara yang dibina di atas sebuah bas di Liverpool, 23 Mei lepas. – AFP

LONDON – Sebilangan ketua perkhidmatan kesihatan percaya bahawa program vaksinasi Covid-19 besar-besaran di England telah menyelamatkan lebih daripada 84,000 nyawa, lapor portal MailOnline semalam. 

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Awam England (PHE), kempen vaksinasi dianggarkan  berjaya mencegah seramai 23.4 juta penduduk daripada dijangkiti virus korona serta mengelakkan hampir 67,000 kemasukan ke hospital.

“Angka-angka ini menunjukkan bahawa program pemberian vaksin telah menghasilkan kesan yang penting dalam menyelamatkan nyawa serta mengurangkan jangkitan virus Covid-19.

“Memandangkan kes telah meningkat, skala sebenar perlindungan daripada program vaksinasi menjadi semakin jelas. 

“Semua individu yang tampil untuk divaksin memainkan peranan penting dalam usaha ini,” kata Ketua Imunisasi PHE, Dr. Mary Ramsay.

Tambah Ramsay, adalah amat penting untuk penduduk berusia di bawah 30 tahun untuk mengambil bahagian dalam kempen vaksinasi.

“Kadar jangkitan adalah paling tinggi dalam kumpulan umur ini dan untuk sesetengah individu, keadaan boleh menjadi teruk,” jelasnya. 

Sementara itu, Pengarah Perubatan PHE, Dr. Yvonne Doyle berkata, meskipun kadar kes Covid-19 kekal tinggi di seluruh England, data menunjukkan bahawa kes-kes kini stabil.

“Vaksinasi telah mengurangkan jangkitan dan sakit yang kronik. 

“Golongan muda amat digalakkan untuk mendapatkan suntikan supaya mereka boleh mengambil langkah seterusnya secara lebih selamat,” ujarnya.

Berdasarkan data, setakat ini lebih daripada 70 peratus penduduk dewasa England berusia 18 hingga  29 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid-19, manakala 32.4 peratus telah menerima dua suntikan lengkap. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI