fbpx

Biar miskin daripada kaya makan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD. YUNUS YAKKUB,
WAKIL KOSMO! SELANGOR

SEBUAH hadis yang diriwa­yatkan daripada Abdullah ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Namun, rasuah masih berlaku apabila wujud manusia terlampau cintakan dunia. Integriti dan amanah ditolak tepi. Matlamat menghalalkan cara.

Isu ini mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengeluarkan titah sebanyak dua kali pada 27 Julai dan 5 Ogos lalu.

Sultan Sharafuddin mene­gaskan, mana-mana pegawai kerajaan dan ahli politik yang dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat Negeri Selangor dan didapati melakukan kesalahan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik balik.

Baginda turut menyeru mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah disegerakan dan tidak melayani penangguhan tanpa alasan yang kukuh berikutan rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes rasuah yang berlarutan terlalu lama.

Penulis dan mereka yang sering mengikut prosiding di Mahkamah Sesyen (Khas Ra­suah) Shah Alam, Selangor akan sentiasa diperingati Hakim Rozilah Salleh bahawa rasuah adalah perbuatan serius dan merupakan kesalahan akhir zaman.

Tegas Rozilah, pelaku mempunyai akal dan pilihan untuk menolak serta menghentikan amalan tersebut walaupun hanya pemberian RM1 bagi tujuan ter­tentu yang tetap dianggap rasuah.

Bagi Presiden Persatuan Pe­mimpin Muda Universiti Malaya, Lim San Shien berkata, konsep modenisasi menyebabkan gene­rasi muda terikut dalam mengejar kekayaan dan nafsu tanpa menyedari perkara itu salah dari segi undang-undang.

Katanya, mereka lupa pene­rimaan atau pemberian rasuah itu akan memberikan kesan kemu­dian hari sehingga boleh memalukan diri sendiri dan ke­luarga apabila ditangkap.

“Saya rasa pembelajaran dalam bentuk sitcom dan ala-ala proses pendakwaan di mahkamah mampu menarik perhatian pelajar.

“Mungkin SPRM juga boleh mengetengahkan isu ini dengan lebih dekat di sekolah dalam aspek pencegahan.

“Lebih baik kita hidup sederhana atau miskin daripada terjebak dalam rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, rasuah mampu mendatangkan ketagihan terutama kepada penerima yang seronok apabila menerima wang yang banyak.

“Ketagihannya sama seperti ‘menghisap dadah’, di­sebabkan wang mereka hilang pedoman.

“Jika dahulu, rasuah banyak berlaku dalam kalangan orang bawahan, namun kini sudah me­rebak di seluruh peringkat termasuk individu yang mempunyai kuasa,” katanya.

Shahul Hamid berkata, setiap tindakan dilakukan SPRM sememangnya diekori rapat golongan netizen khususnya dalam menge­tahui perkembangan sesuatu kes agar tiada sebarang unsur menggagalkannya.

“Kita bimbang nanti ada tuduhan diletakkan di bahu SPRM terhadap kes-kes yang gagal mencapai kejayaan dikehendaki

“Setakat ini, SPRM melakukan kerja mereka dengan cemerlang dan orang ramai seharusnya bersama-sama dalam menyalurkan maklumat terhadap sebarang aktiviti rasuah,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI