fbpx

Pakar percaya virus Covid-19 boleh dilenyapkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemakaian pelitup muka boleh membantu melenyapkan virus korona. – AFP

DUNEDIN, NEW ZEALAND – Sekumpulan saintis percaya bahawa peratusan wabak Covid-19 untuk dibasmi sepenuhnya adalah lebih tinggi berbanding ketika dunia berperang dengan penyakit polio dan cacar kecil.

Menurut akhbar Daily Mail, pakar dari Universiti Otago, New Zealand bagaimanapun berpendapat, penghapusan virus korona adalah lebih sukar dilaksanakan jika dibandingkan dengan penyakit cacar kecil.

Berdasarkan satu artikel yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Gobal Health, kumpulan pakar tersebut mempertimbangkan 17 faktor yang menyumbang kepada penghapusan penyakit cacar kecil dan dilihat relevan bagi menghapuskan Covid-19.

Ia termasuk keberkesanan vaksinasi, tahap kebolehjangkitan virus dan tahap kepedulian masyarakat dunia dalam membasmi virus maut ini.

Pakar-pakar turut mendapati, langkah-langkah kesihatan awam seperti kawalan sempadan, penjarakan fizikal, membasuh tangan, ventilasi, pemakaian pelitup muka dan pengesanan kontak dapat melengkapkan pemberian suntikan Covid-19 sekali gus membantu melenyapkan virus tersebut.

Selain itu, faktor-faktor yang menyukarkan proses penghapusan virus Covid-19 adalah keengganan untuk menerima vaksinasi serta varian-varian yang lebih mudah berjangkit .

Polio menjadi penyakit berjangkit yang merebak ke seluruh dunia, namun kes-kesnya turun mendadak sejak 1950-an selepas program vaksinasi secara berkala dilaksanakan.

Selain itu, penyakit cacar kecil pula telah disahkan lenyap oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1980.

“Meskipun analisis ini merupakan usaha awal menggunakan komponen-komponen subjektif yang pelbagai, kami berpendapat penghapusan virus Covid-19 adalah sesuatu yang mungkin,” kata ketua penyelidik kajian tersebut, Profesor Nick Wilson.

Bagaimanapun, Pakar Penyakit Berjangkit dari Universiti Anglia Timur, Profesor Paul Hunter berkata, virus Covid-19 tidak dapat dilenyapkan, namun akan menjadi satu endemik dan kekal berada dalam beberapa generasi.

“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Covid-19 akan dirawat seperti demam dan selesema biasa namun ia tidak akan dapat dihapuskan sepenuhnya,” jelasnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI