fbpx

Wabak polio ‘menyerang’ London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak menerima suntikan prasekolah yang diberikan kakitangan NHS. – Alamy

LONDON – Hampir satu juta kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di London akan ditawarkan dos penggalak polio pada kadar segera selepas ketua-ketua kesihatan mengesahkan virus penyebab penyakit lumpuh itu menular di ibu kota Britain, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Virus polio telah dikesan lebih 100 kali dalam air kumbahan di lapan daerah di utara dan timur laut  London. Penemuan mengejutkan itu menyaksikan Britain berdepan penularan pertama wabak polio dalam tempoh lebih 40 tahun.

Ibu bapa dan penjaga bagi kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun akan dihubungi oleh doktor-doktor perubatan am bermula bulan depan untuk menetapkan temu janji suntikan vaksin dos penggalak.

Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi Britain menyarankan  kempen dos penggalak tersebut diadakan bagi melindungi kanak-kanak dalam kumpulan umur berkenaan daripada dijangkiti dan berisiko lumpuh.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kadar imuniti sekali gus mencegah virus polio daripada menular.

Memandangkan virus polio berisiko menyebabkan masalah lumpuh kepada seorang  dalam setiap 100 pesakit, risiko terhadap kanak-kanak adalah  tinggi.

Ketua-ketua kesihatan mengumumkan kes pertama polio  Britain melibatkan hanya satu isi rumah di timur laut London pada Februari lalu.

Bagaimanapun, kata  Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA), virus polio kini dikesan sebanyak 116 kali di kota raya itu. Lebih membimbangkan, kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak adalah serendah 55 peratus di beberapa lokasi.

Meskipun tiada seorang pun pesakit disahkan dijangkiti virus tersebut oleh doktor, pakar-pakar kesihatan percaya virus polio menular tanpa diketahui di London berikutan berulang kali  dikesan dalam sisa kumbahan.

Sejumlah daerah di London yang mengalami penularan virus itu mencatatkan kadar rendah pengambilan vaksin  polio termasuk di Barnet, Brent, Camden, Enfield, Hackney, Haringey, Islington dan Waltham Forest.

Justeru, program vaksinasi polio akan bermula di kawasan terbabit  sebelum diperluaskan ke seluruh London. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI