fbpx

Tarik balik kemudahan jika tidak patuh – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan kepada individu lengkap terima vaksinasi jika didapati terdapat ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Covid-19 untuk memastikan kementerian dan agensi bertanggungjawab untuk mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan ke atas kemudahan-kemudahan yang diberikan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk mengarahkan penutupan serta-merta premis atau kawasan terlibat jika didapati berlaku penularan jangkitan Covid-19.

“KKM antara lain akan melakukan penilaian semula risiko, menutup serta-merta premis atau kawasan terlibat dengan kemudahan yang diberikan ini selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas kemudahan-kemudahan bagi individu lengkap divaksin di siaran televisyen tempatan hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memastikan strategi tindakan kesihatan awam yang ketika ini berada di atas landasan tepat terus dilaksanakan sebaiknya terutama menerusi ujian saringan, pengesanan kontak rapat, langkah pengasingan, serta peningkatan keupayaan penjagaan kesihatan dan pilihan rawatan yang lebih luas.

Beliau menegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan berkenaan mesti bertanggungjawab ke atas pelaksanaannya bagi memastikan ia dibuat mengikut peraturan serta garis panduan yang ditetapkan dan mengelakkan mudarat.

“Langkah untuk mengawal pandemik ini juga memerlukan usaha bersepadu pihak kerajaan dan masyarakat. Individu, ketua komuniti dan perniagaan perlu berwaspada dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus ini,” katanya. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI