fbpx

Seorang punya hal, ramai kena tempias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISU penahanan Tauke seminggu lalu sempat mengheret nama sahabat-sahabat untuk menjadi bahan 'petikan' netizen.

GELANGGANG hiburan minggu ini dibuka dengan percaturan hangat, jarang-jarang berlaku apabila seorang pelawak popular ditangkap polis atas tuduhan terlibat dengan kes jenayah pemerdagangan manusia untuk manipulasi seks. Pendek kata, menjadi orang tengah atau ‘bapa ayam’.

Awal-awal platform media sosial menjadi ruang debat, netizen memulakan ‘kerja’ menyiasat dan membongkar, mencari identiti pelawak yang dimaksudkan.

Berbekalkan beberapa bayangan, netizen mula memetik dan menyenaraikan beberapa nama pelawak terkenal.

Malah mereka turut menyenaraikan beberapa nama termasuk yang masih aktif dalam bidang seni mahupun sudah suam-suam kuku.

Di sebalik persoalan, tanda tanya dan dakwaan yang bermain, wujud tuduhan yang tidak berasas daripada netizen terhadap segelintir pelawak yang tidak semena-mena terpalit dengan isu tersebut.

Antara yang disebut ialah Tauke, namun perkara tersebut pantas dinafikan tuan empunya badan ketika dihubungi beberapa media bagi mendapatkan penjelasan.

TAUKE pernah sekeras-kerasnya menafikan, bukan dirinya pelawak yang ditangkap atas tuduhan pemerdagangan manusia untuk manipulasi seks oleh polis di Kuala Pilah, baru-baru ini.

Penafian sekeras-kerasnya Tauke menyebabkan netizen mengalihkan tumpuan ke arah Shahrol Shiro pula. Namun, jawapan sama diberikan pelawak asal Kluang, Johor itu.

“Itu bukan saya. Beberapa sahabat juga ada bertanya adakah itu saya dan saya telah menjelaskan itu bukan saya.

“Terima kasih kerana bertanya dahulu dan pada yang komen dan terus menuduh saya, saya tidak mahu kalian merangkak di Padang Mahsyar mencari saya dan fokus pada dosa-dosa yang lain kerana saya telah memaafkan anda,” luahnya menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya.

Keghairahan netizen yang tidak berpuas hati apabila tekaan mereka jauh tersasar, tiba-tiba nama pelawak Wann Wala dan Joey Daud juga pula menjadi mangsa terbaharu apabila terdapat netizen yang memetik namanya sebagai individu terbabit.

Wann yang merupakan bekas anggota polis, benar-benar terkilan apabila menjadi sasaran netizen dan dituduh sebagai ‘bapa ayam’ di sebalik jenayah tidak bermoral, sedangkan dia sibuk bekerja di negeri kelahirannya Sabah.

“Saya sibuk cari rezeki di Sabah dan bantu saudara yang memerlukan. Ayam memang saya tak jual, tapi saya makan.

“Jangan sampai merangkak nanti di Padang Mahsyar. Lebih baik jernihkan keadaan,” tulisnya dalam hantaran InstaStory, sekali gus membidas dan menangkis tuduhan tidak berakal netizen.

Ibarat seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit. Siapa juga yang bernama pelawak akan diajak berborak tentang isu panas melibatkan geng seperjuangan.

Reaksi lebih matang bagaimanapun terbutir dari bibir Zizan Razak, si pelawak yang berjaya naik status menjadi bintang filem aksi.

Jujur luah si bujang kelahiran Terengganu itu, sekali pun mengetahui identiti ‘rakan seperjuangan’nya itu, dia tidak akan sesekali membuka aib orang.

Pelakon Polis Evo itu mengakui, sejak tular kisah tersebut, dia kerap dihujani pertanyaan menerusi DM (direct message) berkenaan identiti sebenar pelawak yang dimaksudkan.

“Tetapi saya memang tidak tahu dan kalau saya tahu pun, saya lebih memilih untuk menutup aib. Jadi, sesiapa sahaja yang berada di tempat itu, pandai-pandailah selesaikan masalah berkenaan.

“Saya harapkan yang baik-baiklah untuk rakan-rakan pelawak ini,” ujarnya ringkas.

Ironinya, nama sebenar pelawak terbabit sudah diketahui ramai berdasarkan laporan polis yang tersebar luas, tinggal lagi pengesahan lisan belum terlerai, baik daripada pihak berkuasa mahupun pelawak terbabit.

TAUKE sudah membuat pengakuan bahawa dialah pelawak yang ditahan polis untuk membantu satu kes di Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI