JOHOR BAHRU – Empat individu termasuk penjawat awam dan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti menjual air ketum.
Kegiatan jenayah keempat-empat individu terbabit terbongkar susulan tiga serbuan yang dijalankan sekitar daerah Segamat dekat sini bermula pukul 8.10 malam, 2 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama, seorang penjawat awam bersama pelajar IPT masing-masing berusia 39 dan 22 tahun diberkas bersama sejumlah rampasan air ketum.
“Ujian saringan mendapati penjawat awam terbabit positif dadah jenis methamphetamin selain tiada rekod jenayah lampau.
“Susulan serbuan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama sejumlah rampasan air ketum.
“Hasil maklumat dan risikan pihak polis mengadakan satu lagi serbuan di sekitar Segamat dan menahan seorang lagi penjawat awam berusia 43 tahun bersama sejumlah daun ketum dan air ketum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, dalam siri serbuan tersebut, polis merampasa 80 kilogram daun ketum dan sembilan liter air ketum dengan jumlah rampasan RM890.
Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dalam aktiviti memasak air ketum untuk dijual kepada pelanggan di sekitar kawasan Segamat.
“Pendapat mereka untuk dua minggu RM9,000 kalau sebulan dapat RM18,000, banyak itu pendapatan sebulan jual air ketum sahaja,” katanya.
Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan lanjut dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














