fbpx

Isu mental, ‘masjid’ tertunda Remy Ishak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REMY ISHAK

SUKAR untuk menafikan realiti yang satu ini. Bukan berniat untuk melumpuhkan semangat orang ramai dengan terlalu mencanang isu berkait kesihatan mental ketika dunia masih berperang dengan virus maut

Covid-19, namun ibarat kata orang putih, ‘it is what it is’. Itu yang sedang kita hadapi.

Tanpa kita sedar, setiap hari ada sahaja anak yang kehilangan orang tua, ada juga dalam kalangan kita yang hilang mata pencarian dan ditendang dari rumah kerana tiada lagi wang untuk bayar sewa.

Lebih mendukacitakan, tekanan permasalahan Covid-19 juga membunuh keyakinan ramai tentang kehidupan, seterusnya memutuskan tindakan menamatkan riwayat sendiri.

Itu realiti yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, di mana sahaja, termasuk Malaysia.

Anak wayang bernama Remy Ishak juga tidak terkecuali dengan impak bencana dunia ketika ini.

Tampak gagah, namun pemilik nama lengkap, Mohammad Zalimei Ishak itu ada kemerosotan mental dalam acuan tersendiri.

MENGAKUI terkesan disebabkan pandemik Covid-19, apa yang menjadi keutamaan Remy Ishak ketika ini adalah kesihatan mental.

Kesihatan mental

Dari hujung talian, Remy, 39, yang ditemu bual Pose secara eksklusif pada rembang petang Selasa lalu, mengakui mula mengalami kemurungan selepas kematian bapanya, Ishak Idris pada hujung 2019.

“Semuanya bermula daripada tragedi itu. Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu bercakap tetapi memandangkan sekarang adalah waktu yang sangat genting dan semua orang berkemungkinan berdepan masalah yang sama, sebagai figura dikenali, menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi.

“Saya sentiasa mencuba untuk menjadi seorang anak yang baik kepada ibu bapa. Juga menunjukkan nilai yang sama kepada adik-beradik. Jadi, apabila arwah ayah meninggal dunia, semestinya, itu memberi tamparan hebat kepada diri saya.

“Orang tak tahu yang sebenarnya, jiwa kita sedang berperang. Realiti hidup pahit memberikan impak terhadap kesihatan mental kita. Itulah yang saya rasa waima sampai sekarang, saya masih berusaha untuk keluar daripada masalah kemurungan,” kata anak kedua daripada empat adik-beradik itu.

Getus Remy, keadaan menjadi semakin rumit apabila Covid-19 melanda negara sekitar Mac tahun lalu. Masalah kemurungan mula berganda dan bertubi-tubi.

Duduk terpuruk di rumah berseorangan bukan satu tugas mudah untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi, buat dirinya yang sememangnya menjawat peranan sebagai seorang pelakon yang sudah lazim dengan kerjaya yang memerlukan dirinya bersua muka dengan orang ramai demi menjayakan sesuatu projek lakonan.

NASKHAH lakonan Remy, Keluarga Baha Don musim baharu mula bersiaran sejak 29 Julai lalu menerusi platform penstriman Viu.

‘Rutin saya dah hilang’

“Rasa macam semua benda yang kita pernah ada, sekarang tiada. Kerja dah tak macam dahulu, kawan-kawan, kehidupan normal dan pergerakan bebas. Semua itu macam sudah dirampas dalam sekelip mata.

“Jadi, dipendekkan cerita, masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang awal-awal dahulu, saya kemurungan sampai jumpa psikiatri dan bergantung kepada ubat-ubatan seperti antidepressant. Sakitnya orang tak nampak.

“Apabila keadaan dah kononnya kembali okey, PKP sambung lagi sampailah sekarang. Sekarang saya dah tak makan ubat lagi tapi masih berhubung dengan psikiatri dan ada beberapa kawan rapat yang dihubungi kalau keadaan mental saya kurang stabil.

“Kita manusia memang tak boleh hidup berseorangan. Kadang-kadang, saya bangun pagi rasa hidup macam sudah tiada makna. Saya jerit kuat-kuat untuk hilangkan rasa marah.

“Orang tak faham, tapi kita sendiri yang merasainya,” jelas aktor Pulang itu panjang lebar.

Berkongsi semua itu, tidak bermakna Remy tidak berusaha untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat demi kewarasan akalnya.

Biarpun dunia sedang menggila, di rumah, dia banyak menghabiskan waktu melakukan perkara berfaedah.

“Saya nak nasihatkan orang ramai supaya memberi tumpuan kepada kesihatan mental mereka.

“Isi masa dengan benda-benda yang berfaedah seperti membaca, bersenam dan lain-lain.

“Paling penting, kongsi masalah anda dengan orang yang betul-betul boleh mendengar dan anda percayakan.

“Saya sendiri akui rutin biasa saya dah hilang. Sudah tak boleh jumpa keluarga seperti biasa di kampung. Balik-balik ‘video call’ sahaja tapi kita semua perlu kuat. Kuat untuk diri kita dan orang tersayang,” luahnya.

TIADA perempuan lain. Dalam soal jodoh, Remy benar-benar serius untuk menjadikan usahawan wanita yang juga bekas tunangnya, Ezza Yusof sebagai permaisuri hidupnya.

Tangguh kahwin

Terlanjur berbicara tentang hidup berseorangan, Remy turut memberitahu, kalau bukan disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum berkesudahan sehingga sekarang, dia sudah bergelar suami kepada bekas tunangnya, Ezza Yusof, Mei lalu.

Katanya, perancangan majlis pernikahan sudah dilakukan, namun terpaksa dibatalkan disebabkan PKP.

“Sebenarnya saya patut berkahwin tahun ini tetapi pandemik kacau. Kemudian, tidak lama menjelang hari perkahwinan yang dirancang, PKP sambung kembali dan menyebabkan perancangan itu tertangguh sehingga sekarang.

“Saya nak kahwin masa bulan Syawal sempena orang cakap, meraikan hari kemenangan Islam. Saya rasa semua tahu, perhubungan saya dengan Ezza ada pasang surutnya dan pernah putus tunang, namun bercantum kembali.

“Saya ingatkan nak bina masjid pada bulan Syawal selepas ombak, segala badai di lautan yang kami tempuhi sebelum ini, tapi apakan daya, perancangan Allah itu lebih besar daripada kehendak kami,” dedah Remy.

Seolah-olah sedang memberitahu dunia tentang cinta yang mekar di hati, aktor siri komedi mafia Malaysia, Keluarga Baha Don itu tetap positif dan optimis untuk menamatkan zaman bujangnya tahun ini, namun semua tergantung keadaan semasa pandemik negara.

“Sekarang, nak pergi masjid pun ada syarat dan peraturan, nak berkumpul ramai-ramai jauh sekali. Kita tengok macam mana, kalau ikut hasrat hati memang nak kahwin sebelum usia 40 tahun.

“Insya-Allah kalau dah dibenarkan buat majlis nanti, saya memang nak bina masjid.

“Kalau tahun ini juga, tahun ini jugalah saya nak berkahwin.

“Kalau PKP dan segala perkara masih berkenaan itu berlanjutan, kita tunggu dan serahkan semuanya kepada aturan Ilahi,” ujarnya.

Dijentik tentang tautan kembali perhubungan dengan Ezza, jawab Remy ringkas: “Perhubungan berjalan seperti biasa. Insya-Allah, kalau hari itu dah betul-betul sampai (perkahwinan), saya sendiri akan beritahu.”

Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017, namun terputus sekitar 2019.

Hujung Mac lalu, pelakon berkulit hitam manis itu meraikan hari jadi bekas tunangnya Ezza dengan menganjurkan majlis hari jadi di sebuah restoran sekali gus mengesahkan bahawa hubungan cinta mereka kembali menyatu. Diam-diam, namun berisi. Itulah Remy Ishak yang peminat kenali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI