fbpx

Pengedar dadah antara 19 yang dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
19 individu termasuk pengedar dadah yang dicekup di kawasan hutan di Telok Gong, Klang.

KLANG – Kegiatan seorang pengedar dadah menjadikan kawasan hutan di Telok Gong di sini sebagai ‘lubuk’ penjualan bahan terlarang itu berakhir apabila diserbu polis, kelmarin.

Dalam serbuan bermula pukul 5 pagi itu, pengedar tersebut ditahan bersama 18 individu lain yang kesemuanya berusia 25 hingga 60 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil maklumat dan risikan mendapati lokasi itu kembali aktif menjadi sarang penagihan sejak April lalu.

Katanya, ‘port’ dadah itu pernah diserbu sebanyak dua kali pada pertengahan tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati pengedar itu mendapat bekalan dari lelaki tempatan di lokaliti sama sebelum menjualnya dalam bentuk peket pada harga RM15 hingga RM40.

“Semasa tangkapan dilakukan suspek sedang menjalankan aktiviti jual beli selain menghisap dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau memberitahu, semakan mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau berkaitan dadah.

Kata Shamsul Amar, pihaknya turut merampas dadah jenis heroin seberat 33.68 gram (g) dan syabu 2.01g bernilai RM1,355.

“Kesemua suspek yang ditangkap positif dadah dan semakan mendapati enam daripadanya dikehendaki berkaitan dadah.

“Pengedar itu yang merupakan penganggur kini direman selama tujuh hari,” jelasnya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1), 12 (2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI