fbpx

Dengan siapa, bukan kuasa saya – Hafiz Suip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZ SUIP

PENYANYI Hafiz Suip boleh dikatakan cukup bertuah. Sepanjang hampir 12 tahun bergelar penyanyi sejak menjuarai program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada 2009 momentum karier seninya berada dalam keadaan cemerlang.

Setiap lagu yang dikeluarkan pasti mendapat sambutan, malah anak kelahiran Kuching, Sarawak itu juga mencipta rekod tersendiri apabila tiga kali bergelar johan Anugerah Juara Lagu (AJL) dan empat kali membawa pulang trofi Vokal Terbaik AJL.

Disebabkan keunikan dan kelunakan vokalnya, Hafiz meraih peluang yang jarang diperoleh penyanyi lain apabila diberi kesempatan berduet dengan ramai penyanyi popular antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Muara Hati, Datuk Rossa (Salahkah), Misha Omar (Terimaku Seandainya), Faizal Tahir (Inspirasi) dan Adira (Takdir Tercipta).

Pencapaian tersebut secara tidak langsung telah meletakkan Hafiz dalam kategori penyanyi lelaki terbaik. Bagi mengekalkan momentum kariernya, Hafiz muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Berakhirlah

Pencarianku duet bersama pemenang Vokal Terbaik AJL sebanyak dua kali, Ernie Zakri.

“Projek ini sangat bermakna bagi saya. Apabila ditawarkan berduet bersamanya tiada sebab untuk saya tolak. Dia juga pemenang AJL dan memiliki vokal yang terbaik.

“Saya bersyukur akhirnya dapat juga berduet dengan Ernie. Secara peribadi vokal Ernie yang membungakan lagi lagu ini,” ujar Hafiz berhubung single yang telah dilancarkan dalam platform digital tersebut.

Tidak dinafikan kedua-dua mereka memiliki kualiti vokal yang cukup luar biasa, namun jelas lelaki berusia 31 tahun itu bukan mudah untuk mencari titik temu antara mereka.

HAFIZ menyifatkan rakan duet terbaharunya Ernie mempunyai vokal yang cukup istimewa, jadi tiada sebab untuk dia menolak tawaran menyanyikan lagu Berakhirnya Penantianku.

Bahkan tidak kurang, ramai yang meletakkan harapan tinggi saat mendengar Hafiz dan Ernie disatukan dalam sebuah lagu.

“Sejujurnya, vokal kami bukanlah sempurna. Saya tidak boleh kata yang saya menyanyi lebih baik daripadanya. Saya dan Ernie juga banyak berkompromi untuk mendapatkan keseimbangan.

“Sungguhpun begitu, saya yakin kami telah memberi sehabis baik demi peminat. Saya cuma berharap peminat menerima dengan hati yang terbuka dan janganlah meletakkan harapan terlalu tinggi semata-mata kami berdua yang menyanyikan lagu ini,” tutur Hafiz mengenai lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh serta lirik oleh penerbit drama terkenal, Datuk A. Aida itu.

Tegas Hafiz, biarpun pernah berduet dengan beberapa penyanyi terkenal, hakikatnya, dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat mahupun memilih rakan duet.

Jelas bapa kepada dua orang anak itu, dia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa rakan duetnya, sebaliknya tanggungjawab tersebut diserahkan sepenuhnya kepada syarikat rakaman Nova Music.

“Saya tidak pernah memilih rakan duet dalam projek ini. Tugas saya hanya menyanyi dan soal rakan duet semuanya urusan pihak label. Mereka yang membuat perbincangan dan mempunyai kuasa memilih.

“Biarpun pernah memenangi anugerah saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat siapa yang boleh me­nyanyi dengan saya.

“Semua orang boleh menyanyi dengan saya. Siapa saya untuk meletakkan syarat sebegitu?” luah Hafiz berkenaan projek terakhirnya bersama Nova Music.

Dalam pada itu, Hafiz turut memohon agar peminat tidak membandingkan dirinya dengan Syamel, suami yang juga teman duet sejoli Ernie selama ini.

“Saya akan buat tidak kisah jika tetap dibandingkan. Kita tidak hidup untuk melayan kehendak semua orang. Saya hanya ambil perkara positif,” tutur Hafiz.

Beralih bicara tentang fizikalnya yang semakin menyusut termasuk wajah cengkung, Hafiz sebenarnya sudah agak lama menimbulkan kebimbangan dalam kalangan khalayak.

MESKIPUN telah berduet dengan ramai penyanyi popular sebelum ini, Hafiz tidak pernah meletakkan sebarang syarat dan tidak mempunyai kuasa memilih rakan duet.

Tertekan

Biarpun berkali-kali menegaskan kesihatannya berada dalam keadaan baik, akui Hafiz masih banyak pihak melemparkan tohmahan, termasuklah menuduhnya mengambil bahan terlarang (dadah).

Sedar lumrah hidup sebagai selebriti, Hafiz bagaimanapun memilih untuk tidak mengambil pusing perkara tersebut.

“Kalau benda tidak betul, kenapa perlu dilayan? Jika dilayan maknanya benda itu betullah. Jika saya bercakap lebih nanti kedengaran seperti saya marah orang pula.

“Sebagai selebriti memang kita tidak boleh bercakap apa, hanya mampu terima dan kemam. Jika kita buka mulut nanti dipandang serong pula. Sebab ini lumrah hidup, seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan saya, kita (selebriti) adalah milik netizen dan peminat.

“Saya harus terima hakikat tersebut dan orang di luar sana pun perlu menerima hakikat bahawa saya juga manusia biasa,” ujar Hafiz mohon dimengerti.

Menurut penyanyi Awan Nano itu, dia juga tertekan apabila tahap kesihatannya sering dipersoalkan peminat dan media.

Sedar kebimbangan ramai, namun kata Hafiz, lebih molek perkara berkenaan dirujuk kepadanya terlebih dahulu sebelum menghakimi tanpa usul periksa.

“Jika kerap ditanya, kau sakit ke? Lama-lama kita akan betul-betul sakit kerana soalan yang sama diulang-ulang.

“Setiap apa yang keluar daripada mulut ialah doa. Jika benar-benar mengambil berat, kita akan jumpa atau hubungi terus orang itu secara peribadi.

“Janganlah terus membuat tuduhan seperti mengambil dadah, keluarga tidak beri makan dan pelbagai lagi tuduhan lain. Memanglah saya seorang artis, hakikatnya itu kerjaya saya sahaja. Saya pun manusia biasa, jika dilempar dengan tuduhan sebegitu memang saya tertekan,” kata Hafiz jujur.

Sungguhpun tubuhnya semakin melidi, Hafiz mengakui sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Alhamdulillah, apa yang boleh dikatakan, saya sihat. Sihat dan sakit kita semua atas Allah. Saya telah melakukan pemeriksaan kesihatan dan apabila ada orang kata saya adalah masalah perlu jumpa ustaz (rawatan Islam) saya pergi semua, mana-mana sahaja.

“Syukur, semua tempat yang saya pergi mengatakan saya berada dalam keadaan okey,” jelasnya.

Bercerita tentang situasi semasa, seperti orang lain, Hafiz turut terkesan kerana pandemik Covid-19. Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak berkongsi bebanan yang ditanggung kerana bimbang disalahertikan sesetengah pihak.

HAFIZ kesal apabila ada pihak yang menuduhnya mengambil bahan terlarang (dadah) gara-gara fizikal yang semakin susut walhal berada dalam keadaan sihat.

Terkesan

Sambungnya, dalam keadaan sukar hari ini, semua golongan terkesan termasuklah anak seni sepertinya.

Namun Hafiz bersyukur perniagaan yang diusahakan bersama isteri, Nureffy Jasreel Abdullah mampu menyelamatkan keadaan.

“Tipulah jika saya kata tidak terkesan, semua orang terkesan musim pandemik ini. Cuma saya cuba elak untuk bercerita mengenainya. Pernah terjadi seorang anak seni cuba meluahkan apa yang ditanggung tetapi menjadi tanggapan lain pula.

“Apa yang boleh saya katakan, lebih baik berdiam dan fikir apa yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan.

“Saya bernasib baik mempunyai perniagaan makanan dalam talian bersama isteri,” ujar Hafiz yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan Sarawak seperti mi Jawa Sarawak dan laksa Sarawak.

Tambah Hafiz, tiada gunanya jika terus merintih kerana pada akhirnya nasib seseorang ditentukan menerusi tindakannya pada hari ini.

Dia bahkan sedar sukar untuk bidang nyanyian kembali pulih seperti dahulu dalam masa terdekat

“Memang susah kerana bidang nyanyian perlu mengumpulkan ramai orang dan perkara tersebut agak mustahil untuk dilakukan semasa pandemik.

“Sebelum ini ada yang kata mahu mengadakan acara secara virtual, namun masih belum ada sebarang hasil. Jadi, saya sendiri tidak tahu nasib penyanyi.

“Bukan saya sahaja, orang berpendapatan tinggi turut terjejas apatah lagi orang biasa. Saya berharap kita semua kuat dan terus berdoa agar pandemik ini akan segera berakhir,” tutur Hafiz.

HAFIZ mengakui turut terkesan akibat pandemik, namun masih mampu menjana pendapatan hasil perniagaan dalam talian yang diusahakan bersama isteri.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI