Busana yang bernilai RM30,000 untuk keseluruhan kontinjen itu menerima pelbagai respons daripada penonton sebaik sahaja melihat kontinjen Malaysia masuk ke ruang perarakan.
Namun, pensyarah kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Khairulazlan Abd. Karim yang mengetuai pasukan pereka tidak mudah melatah dan berkecil hati, malah meraikan pandangan semua orang.
“Kami sangat mengalu-alukan komen semua orang kerana ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai baju kebangsaan dan busana tradisional masyarakat kita, sekali gus mempopularkannya,” katanya.
Khairulazlan juga melahirkan rasa gembira apabila busana tersebut turut dijadikan inspirasi watak kartun oleh artis anime Jepun dan Malaysia.
Selain itu, persalinan itu turut dimasukkan ke dalam permainan video Animal Crossing: New Horizon ciptaan Kurosaki Kei iaitu seorang pemain Animal Crossing dari Malaysia.
Pembukaan Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai lalu cukup meriah dengan perarakan masuk para kontinjen yang memperagakan rekaan busana bagi negara masing-masing.
Daripada 205 buah negara bertanding, perarakan kontinjen Malaysia antara yang mencuri perhatian dunia apabila wakil lelaki menggayakan persalinan Laksamana Hang Tuah lengkap bertanjak, manakala wanita berbaju kurung dengan aksesori dokoh.
Keindahan seni busana Melayu dan penggunaan gabungan warna segar rona Jalur Gemilang iaitu merah, kuning, biru dan putih serta corak geometri turut menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.
Kostum perarakan Olimpik Tokyo 2020 yang digayakan 13 atlet dan delegasi Malaysia itu dihasilkan pensyarah dan pelajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Pasukan pereka itu diketuai oleh Pensyarah Kanan di FSSR, Khairulazlan Abd. Karim dengan dibantu seorang lagi Pensyarah Kanan, Muhammad Wazir Jahilan serta seorang pelajar tahun akhir jurusan fesyen, Muhammad Fawwaz Mohd. Fuad.
Menurut Khairulazlan, mereka sangat teruja dan pada masa sama berdebar ketika menerima tugasan tersebut kerana perlu menyiapkan kostum itu dalam masa yang sangat singkat.
“Ketika mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) pada April lalu, mereka memberi kami tiga kata kunci iaitu baju kebangsaan, Jalur Gemilang dan kreatif (unik serta lain daripada kebiasaan).
“Selepas itu, kami menjalankan proses pembangunan idea dan pembentangan rekaan yang memakan masa sekitar sebulan serta diberi masa hanya dua minggu untuk baju-baju ini disiapkan,” katanya yang berpengalaman 11 tahun sebagai pensyarah dalam bidang rekaan fesyen.

Hasil perbincangan mereka bertiga, terhasillah busana berinspirasikan persalinan Laksamana Hang Tuah bagi menterjemahkan tiga kata kunci itu.
Khairulazlan memberitahu, sifat perjuangan, kesetiaan kepada raja, toleransi dan diplomasi dimiliki tokoh pahlawan Melayu itu menyebabkan beliau diangkat sebagai tema kostum tersebut apatah lagi semua bangsa di Malaysia tahu mengenainya.
Jelasnya, pada peringkat awal, mereka membentangkan enam cadangan rekaan tetapi hanya dua rekaan dipilih untuk dikembangkan.
“Bagi menyiapkan pakaian itu, kami perlu bertindak pantas dengan membahagikan tugasan kepada empat kumpulan dan diselia kami bertiga.Kumpulan dibahagikan kepada pembuatan tanjak, baju Melayu, baju kurung dan percetakan,” katanya.
Salah satu daripada empat kumpulan tersebut terdiri daripada alumni UiTM yang melaksanakan tugasan itu di rumah masing-masing dan berhubung secara maya ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kemudian, menurutnya, daripada dua rekaan itu, pihak MSN membuat pilihan satu sahaja rekaan yang akan dipakai pada perbarisan tersebut.
Sementara itu, Muhammad Wazir, 59, berkata, kostum tersebut direka dengan sangat teliti, mengambil kira pelbagai aspek dalam memenuhi kriteria yang ditetapkan pihak MSN.
“Kami perlu mencari rekaan yang bersesuaian dengan waktu agak terhad kerana jika mahu menggunakan songket ia memerlukan masa berbulan-bulan untuk disiapkan. Justeru, kami memutuskan untuk menggunakan fabrik poliester, sutera satin dan poly cotton kerana ia tidak mudah berkedut, ringan serta mudah dijaga,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Fesyen Tekstil dan Rekaan Kasut dari De Montfort University Leicester, United Kingdom itu.
Tambahnya, busana tersebut bukan sahaja perlu direka agar selesa dipakai tetapi mudah dibawa oleh atlet ke Tokyo memandangkan mereka perlu membawanya sendiri. Maka, fabrik tidak boleh terlalu berat dan dianggarkan bagi satu persalinan itu seberat tiga kilogram termasuk aksesori tanjak serta dokoh.

Mengulas mengenai penggunaan warna, Muhammad Wazir berkata, ia merupakan terjemahan rona warna Jalur Gemilang yang memberi suntikan segar dan penuh semangat selain diserikan corak geometri.
“Warna dan corak geometri itu mempunyai maksud serta falsafah mengenai penyatuan pelbagai kaum, budaya serta semangat perjuangan di bawah satu bendera yang mempunyai impian serupa bagi menghadiahkan pingat kepada negara.
“Ia boleh dilihat menerusi corak geometri yang diambil daripada rekaan pucuk rebung berbentuk segi tiga kemudian dicantumkan antara satu sama lain bagi membawa maksud penyatuan,” tuturnya yang berpengalaman dalam penghasilan pakaian rasmi organisasi penganjuran Sukan Komanwel 1998.
Sementara itu, Muhammad Fawwaz berkata, pandemik Covid-19 memberikan cabaran untuk mereka menyiapkan tugasan tersebut.
“Perbincangan dengan pihak-pihak terbabit kebanyakan dilakukan secara online dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat sewaktu berurusan dengan para atlet. Sebagai contoh, perlu menjalani ujian calitan sebelum melakukan proses mengambil ukuran badan para atlet,” ujarnya.
Sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan, pasukan pereka itu juga tidak dapat melihat sendiri para atlet mencuba kostum sebaik sahaja siap dan hanya menghantar kepada pegawai bertugas di hadapan pintu pagar MSN untuk diserahkan kepada atlet.
Busana yang bernilai RM30,000 untuk keseluruhan kontinjen itu menerima pelbagai respons daripada penonton sebaik sahaja melihat kontinjen Malaysia masuk ke ruang perarakan.
Ada yang melemparkan komen negatif dengan mengatakan ia seperti badut dan sarung bantal tetapi tidak kurang juga yang memuji keindahan persalinan itu.

Namun, Khairulazlan dan pasukannya tidak mudah melatah dan berkecil hati, malah meraikan pandangan semua orang.
“Kami sangat mengalu-alukan komen semua orang kerana ia secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai baju kebangsaan dan busana tradisional masyarakat kita, sekali gus mempopularkannya.
Ia juga memberi satu topik untuk orang ramai berfikir dan peluang kepada percambahan idea bagi transformasi rekaan busana Melayu yang lebih baik pada masa depan,” ujar Khairulazlan.
Khairulazlan juga melahirkan rasa gembira apabila busana tersebut turut dijadikan inspirasi watak kartun oleh artis anime Jepun dan Malaysia.
Selain itu, persalinan itu turut dimasukkan ke dalam permainan video Animal Crossing: New Horizon ciptaan Kurosaki Kei iaitu seorang pemain Animal Crossing dari Malaysia.














