fbpx

Rock selama-lamanya Madam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Madam.

BUKAN mudah untuk memahat nama dalam jalur muzik rock era ini. Jika sukses pun barangkali atas beberapa sebab sama ada projek muzik yang dirakamkan atau dipersembahkan memang benar-benar berkualiti atau sememangnya nasib menjadi penentu.

Di celah ‘dedaunan layu’ pandemik Covid-19, rezeki dan tuah ternyata memihak kepada Madam yang dianggotai Putera (vokalis), Azuan (bass), Herman (dram) dan Fadhil (gitar).

Single kedua mereka, Musnah bukan sahaja menjadi siualan ramai pendengar, bahkan, sudah mencatatkan jumlah tontonan YouTube sebanyak hampir 70,000 dalam tempoh dua bulan.

Semestinya, catatan tersebut satu pencapaian baik daripada sebuah band yang baru sahaja ditubuhkan sekitar dua tahun begitu.

“Kami sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap Madam. Segala kerja keras kami berempat selama ini akhirnya membuahkan hasil apabila band kami mula mendapat tempat di hati penggemar muzik tempatan,” kata Putera.

Bukan itu sahaja, single pertama mereka berjudul Luka yang dilancarkan pada Julai tahun lalu menjadi titik permulaan kejayaan apabila menjangkau semua ekspektasi dengan memperoleh tontonan sebanyak lima juta dalam saluran YouTube.

MADAM merupakan band pertama bawah naungan Rocketfuel Entertainment yang sedang hangat diperkatakan dan mendapat tempat dalam industri muzik Malaysia.

Putera tarikan Madam

Berkenaan Madam yang mungkin masih lagi satu jenama asing buat peminat arus perdana, majoriti daripada mereka mengakui antara tarikan utama band adalah kekuatan vokalisnya iaitu Putera.

Mewakili kumpulan, Herman yang juga pemain dram Madam berkata, mereka banyak mendapat respons dan komen memuji kehebatan vokal Putera.

Perihal tersebut sekali gus menjadikan single Musnah yang dilancarkan sejak lima bulan lalu mendapat penstriman tertinggi dalam aplikasi muzik Joox, selain hangat diperkatan peminat muzik tanah air.

“Lagu ini adalah projek kerjasama antara Rocketfuel Entertainment dengan JOOX, sebuah aplikasi penstriman dalam talian yang popular. Kerjasama ini terbukti berjaya apabila lagu ini memperoleh jumlah penstriman yang tinggi.

“Tak sangka pula lagu Musnah kembali diperkatakan. Bagi kami, mungkin lagu dan muzik yang dibawakan Madam kena dengan selera pendengar. Dalam masa sama, kebanyakan komen dan maklum balas diterima daripada golongan yang suka dengan suara vokalis kami.

“Jadi, kami berasa beruntung juga kerana Putera menjadi vokalis. Pendek kata dalam Madam ada faktor ‘X’ dari segi vokal,” kata Herman mewakili Madam dalam sidang media secara virtual baru-baru ini.

Keserasian yang wujud antara tiga pemuzik dan vokalis dalam Madam membawa kepada magis yang dibawa sejak setahun lalu.

“Saya, Padel dan Azuan memang sudah berkawan lama. Malah, sebelum ini kami selalu mengiringi persembahan penyanyi bawah pengurusan Rocketfuel.

“Kebetulan mereka nak wujudkan band baharu dan kami ditawarkan untuk bergabung menjadi sebuan kumpulan.

“Sejujurnya kami tak pernah tahu secara mendalam siapa Putera. Tapi apabila berjumpa kali pertama dan kami jamming bersama, dari situ sudah ada keserasian.

“Dia pelengkap kami. Sebelum ini ada juga kerja dengan orang lain, tapi dengan Putera lebih serasi,” kata Herman.

SINGLE pertama mereka berjudul Luka yang dilancarkan pada Julai tahun lalu menjadi titik permulaan kejayaan apabila menjangkau semua ekspektasi dengan memperoleh sebanyak lima juta tontonan dalam YouTube.

Rock takkan mati

Menyingkap lebih dalam, Madam ialah akronim daripada ayat ‘man of another day another music’ yang mempertaruhkan muzik rock.

Lagu Musnah yang juga single keempat mereka adalah ciptaan komposer Amy Bong dan Zimi Sofazr.

Berbicara tentang pembawakan muzik rock yang barangkali sukar diterima masyarakat moden sekarang ini, Madam percaya sampai bila-bila pun, muzik rock akan tetap bernyawa.

Kata pemain gitarnya, Fadhil, tiada siapa pun di dunia ini perlu berasa segan menyanyikan rock misalnya, ‘rock kapak’ hanya kerana orang kata sudah tidak relevan atau ditelan zaman.

“Saya percaya rock mempunyai nilai besar terhadap seni muzik itu sendiri. Kalau bukan kita yang menyuntik unsur ‘rock kapak’ yang terkenal dengan budaya orang Malaysia, siapa lagi?

“Kita juga perlu sentiasa melahirkan pembaharuan untuk memikat para pendengar. Zaman sekarang ada pelbagai platform media sosial.

“Macam kumpulan rock asal Itali, Måneskin, siapa sangka lagu yang mereka rakamkan semula Beggin boleh jadi antara lagu popular dunia. Sekarang, bukan hanya Itali, bahkan satu dunia kenal Måneskin.

“Kalau tiada TikTok, saya tidak rasa impak lagu tersebut sebesar sekarang,” katanya.

MADAM, dianggotai empat jejaka berbakat besar yang terdiri daripada Putera (vokalis), Azuan di posisi bass, Herman (dram) dan Fadhil (gitar) terus mara dengan kejayaan single kedua Musnah sejak kali pertama diperkenalkan lima bulan lalu.

Musnah yang dibikin secara bernas oleh Rocketfuel Entertainment dan JOOX, sebuah aplikasi penstriman atas talian yang popular. Kerjasama tersebut terbukti berjaya apabila Musnah memperoleh jumlah penstriman yang begitu tinggi.

“Kami sama sekali tidak menjangkakan respons sebegini. Namun dengan kepercayaan yang diberikan oleh Feros (Ketua Rocketfuel Entertainment) kami beranikan diri dan mencuba nasib. Alhamdulillah tidak sia-sia,” kata Azuan.

Biarpun Madam mula diperkenalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), itu sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk menghasilkan karya bermutu.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia bukanlah alasan bagi Madam untuk berdiam diri, sebaliknya merebut peluang dalam dunia serba digital sekarang.

Selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, Jipie pula berbangga dengan kejayaan yang dicapai Madam.

Sebagai band pertama Rocketfuel, mereka telah menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Manakala kerjasama diantara Rocketfuel dengan JOOX melalui single Musnah ternyata membuahkan hasil. Saya yakin dengan bakat yang mereka ada, Madam mampu pergi jauh dan tak mustahil bakal setanding dengan band-band lagenda di Malaysia pada satu hari nanti,” katanya.

MADAM percaya bahawa muzik rock akan hidup sampai bila-bila.

Menurut Herman, tidak dapat dinafikan, ramai yang mengenali Madam sebagai sebuah band rock, tetapi banyak cabang muzik lain yang ingin mereka terokai.

“Bermacam genre lain yang ingin kami cuba dan belum diterokai namun dalam masa yang sama masih mengekalkan elemen rock. Jangan lupa untuk menantikan karya terbaru yang bermutu daripada kami tidak lama lagi,” ujarnya.

“Kami berharap agar peminat muzik terus memberikan sokongan padu dalam usaha Madam memartabatkan muzik Malaysia ke persada Asia Tenggara dan insya-Allah ke mata dunia,” akhiri Fadhil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI