fbpx
SISSY IMAN

Sissy Iman jadi diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAUH hari ini, telah banyak percubaan dilakukan si manis Sissy Imann untuk memastikan namanya terpahat dalam lingkar industri hiburan tanah air.

Menyanyi sudah, berlakon sudah pun sudah, kini rezekinya melebar apabila ditawarkan menjadi pengacara sebuah program muzik ikonik, Muzik Muzik 36 (MM36).

Awal-awal lagi, tugasannya menggantikan tempat Daiyan Trisha, disambut baik. Ramai berpendapat, keperibadian dan kepetahan pelantun lagu Pesanan Ayahanda itu mampu menghidupkan MM36.

Jiwa muzik

Ditanya apakah kerisauan yang membelenggu fikirannya ketika menerima tawaran tersebut, tiada lain yang dikhuatirkan Sissy, mampukah dirinya menggalas amanah yang diberikan dengan baik mungkin.

“Kerisauan saya bukanlah untuk menggantikan pengacara-pengacara terdahulu tetapi sebenarnya lebih kepada MM36 itu sendiri.

TIDAK pernah lenyap, Sissy tetap memasang impian untuk turut bertanding di pentas AJL meskipun sudah bergelar pengacara Muzik Muzik.

“Sejujurnya amanah dan tanggungjawab itu yang paling saya risaukan. Saya bimbang tidak mampu untuk memberikan yang terbaik seperti diharapkan oleh ramai pihak,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Katanya, kebimbangan tersebut juga termasuklah dari segi pendekatan pengacaraannya mengendalikan rancangan tersebut dengan acuan sendiri tanpa dibayangi identiti hos terdahulu.

“Macam mana nak mengendalikan dan bagaimana untuk menjadikan MM36 menyeronokkan. Dari situ saya simpulkan bahawa pentingnya untuk menjadi diri sendiri dan perkara lain pasti akan muncul selepas itu,” katanya.

Cinta yang menebal dalam bidang muzik, itu antara sebab utama penerimaan tawaran untuk mengendalikan MM36.

Tutur anak kelahiran Kuala Lumpur itu, melepaskan diri melangkah ke satu fasa lebih tinggi iaitu bergelar pengacara MM36 merupakan satu keputusan paling besar pernah diambil dalam hidupnya.

“Mengacarakan sebuah program hiburan gah sebegini merupakan satu langkah dan cabaran yang besar kepada seseorang yang bukan dilahirkan dalam dunia seni sebagai pengacara. Jadi, inilah peluang untuk saya terokai kemampuan diri.

“Umum tahu keghairahan saya dalam bidang muzik, bila saya diberikan peluang sebegini, memang saya tidak berpaling lagi dan terus menerimanya dengan berlapang dada,” kongsi penyanyi berusia 26 tahun itu.

MESKIPUN rezekinya sebagai pengacara semakin mencurah, anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak akan mengenepikan kerjayanya sebagai penyanyi.

Ingin jadi diri sendiri

Sama seperti pengacara lain, pemilik nama lengkap Sissy Imann Mohammad Kamil itu​ juga enggan dirinya dibanding-bandingkan dengan barisan pengacara terdahulu.

Rasa diri terlalu kecil mahupun perasaan tercabar juga tidak pernah terbit dalam dirinya apabila ramai yang mula membeza-bezakan cara pengacaraannya dengan hos terdahulu terutama Daiyan.

“Tercabar? Saya langsung tiada rasa begitu. Saya dan Daiyan mempunyai kelebihan dan cara masing-masing.

“Jika asyik membandingkan diri dengan kemampuan orang lain, risau akan menjerat diri sendiri. Bagi saya, semua orang ada hak untuk menilai, apa yang penting sekarang ialah jadi diri sendiri.

“Kalau boleh, saya tidak mahu terikut dengan cara orang lain, risau nampak terlalu mencuba atau bermuka-muka di depan kamera,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pelantun lagu Mungkin Kamu itu juga akan berusaha untuk menyuntik elemen istimewa bagi memantapkan lagi kemunculannya menerusi MM36.

“Insya-Allah akan ada elemen menarik akan disuntik dalam pengacaraan saya. Kalau nak tahu, kenalah tonton,” tuturnya yang teruja untuk bergandingan dengan Alif Satar sebagai rakan pengacara.

SISSY yang melancarkan single terbaharu berjudul Bebas menganggap peluang untuk mengacarakan Muzik Muzik sebagai platform untuk menerokai kemampuan diri dalam pelbagai bidang.

Nyanyian 

Bercerita tentang kerjaya nyanyian yang mungkin sedikit ditenggelami karier pengacaraan, bekas hos Studio Big Stage musim ketiga itu menyerahkan turun naik rezeki kepada Tuhan.

Kerjaya sebagai pengacara bukan bermakna nyanyian yang sudah diceburi sejak bertahun-tahun bakal diketepikan.

“Ini namanya rezeki dan saya juga tidak boleh menolak. Lebih-lebih lagi ketika ini persembahan pentas juga tidak dibenarkan kerana pandemik.

“Jadi apa salahnya untuk saya menceburkan diri dengan lebih aktif dengan kerjaya ini. Ketika ini, apa sahaja rezeki yang datang saya akan terima, namun tidak akan pernah melupakan bidang nyanyian,” ujarnya yang sangat mengagumi Sherry Alhadad ketika mengacarakan MM.

Diberi soalan cepumas adakah terdetik rasa ralat kerana mengacarakan MM36, namun belum berpeluang beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Sissy bagaimanapun tidak mahu dibuai perasaan negatif berhubung perkara tersebut.

“Tidak ada perasaan ralat langsung tetapi dalam masa sama, saya tidak akan melenyapkan impian untuk bertanding di pentas AJL.

“Siapa yang tidak mahu mempersembahkan karya mereka di AJL? Jangan risau, saya akan terus berusaha dan berdoa mencapai impian tersebut,” tuturnya yang baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Bebas.

SISSY berulang kali menyatakan hanya mahu menjadi diri sendiri dan tidak mahu dibayangi identiti orang lain sepanjang mengacarakan Muzik Muzik.

BERITA BERKAITAN