fbpx

‘Nak suap nasi, lalat masuk mulut dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH lalat menghantui kira-kira 800 penduduk di dua kampung di Beruas sejak 30 tahun lalu.

BERUAS – Kira-kira 800 penduduk di Kampung Tualang dan Kampung Buruk Bakul sengsara apabila masalah lalat yang menganggu kehidupan mereka tidak berkesudahan sejak 30 tahun lalu.

Seorang penduduk, Rashid Leman, 51, berkata, penduduk di dua kampung itu percaya masalah berkenaan berpunca daripada ternakan ayam yang terletak kira-kira 600 meter dari penempatan penduduk.

Terdapat kira-kira 600 penduduk tinggal di 106 rumah di Kampung Tualang dan kira-kira 200 penduduk tinggal di 33 kedia­man di Kampung Buruk Bakul.

“Setiap dua bulan sekali, mesti lalat ‘serang’ kami sampaikan ada masa nak makan pun susah, belum sempat suap nasi, lalat ma­suk dulu dalam mulut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Rashid, gangguan lalat akan berlaku sekurang-kurangnya selama tiga minggu iaitu selepas perusahaan yang memiliki 16 reban itu menjual ayam­nya dalam tempoh tersebut.

“Adik beradik dan saudara mara pun tidak mahu datang ke rumah kami dan kalau datang pun mereka tidak selesa mahu menjamah makanan.

“Pernah orang luar datang keluar kereta sekejap terus masuk balik dalam kenderaannya apabila dihurung lalat,” ujarnya.

Penduduk lain, Mohamad Amir Kasim, 47, pula memberi­tahu, mereka sudah berjumpa pengusaha ternakan ayam itu dan beberapa langkah telah diambil tetapi keadaan tetap tidak berubah.

“Ternakan ayam itu mula beroperasi pada 1986 dan ketika itu rumah penduduk tidak sebanyak sekarang. Kami percaya perusahaan itu sudah tidak sesuai lagi berada di kawasan kampung ini,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Kampung, Abu Hassan Abdullah, 68, berkata, isu tersebut menjadi agenda utama setiap kali mesyua­rat diadakan selain aduan kepada pemimpin politik tetapi tiada penyelesaian.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Sal­leh mengesahkan pihaknya mene­rima aduan berkaitan dan telah merujuk masalah itu kepada JPV Daerah Manjung.

“Kami juga telah membuat pemeriksaan termasuk memberi notis serta tempoh penambahbaikan pengurusan reban bagi kawasan yang telah mendapat lesen JPV.

“MPM mencadangkan supaya tindakan penguatkuasaan diambil oleh JPV bagi membendung isu dan aduan yang berpunca dari aktiviti perladangan ayam di bawah Enakmen Perladangan Unggas 2005,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI