fbpx
PETUGAS hadapan bimbang keluarga terdedah jangkitan Covid-19.

‘Kami risau terbawa pulang Covid-19’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rata-rata petugas barisan hadapan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, namun masih terdapat ahli keluarga mereka yang belum menerima suntikan.

Ia menyebabkan frontliner ini ­risau akan kese­lamatan isteri, suami­ dan anak-anak mereka­ terdedah kepada jangkitan ­Covid-19­ melalui virus yang mungkin mereka bawa pulang ke rumah.

Rakyat pula melihatkan si­tua­si itu bagaikan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’ apabila pemberian suntikan vaksin ketika ini diberikan kepada pekerja-pekerja a­sing secara besar-besaran.

Malah, sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual kepada syarikat swasta serta negeri yang berminat mulai bulan ini sehingga September depan.

Di George Town, segelintir jururawat yang bertugas di hospital-hospital di Pulau Pinang mendedahkan, terdapat ahli keluarga mereka yang belum menerima suntikan sekurang-kurangnya untuk dos pertama.

Seorang jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 32, berkata, dia yang telah melengkapkan dua dos suntikan tinggal bersama suami dan seorang anak lelaki berusia enam tahun.

“Saya harap suami akan segera divaksin kerana pekerjaan saya bertemu ramai pesakit setiap hari amat berisiko,” katanya.

Seorang anggota Jabatan Suka­relawan Malaysia (Rela), Mohd. Ramle Noor, 53, yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin pula berkata, perkara yang paling membimbangkannya apabila isteri, Asrid Hidayat, 47, masih me­nunggu giliran untuk divaksinasi.

“Saya bimbang jika terbawa pulang virus ini dan menjangkiti isteri,” ujarnya.

Petugas barisan hadapan merayu kerajaan agar memberi keutamaan kepada keluarga mereka dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19. – GAMBAR HIASAN

Di Sungai Petani, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Sarjan (PA) Y. Visvanathan, 44, berkata, dia juga bimbangkan keselamatan isterinya, K. Silvia, 27 kerana belum disuntik vaksin.

“Saya terpaksa ‘lari’ dahulu ke pejabat untuk mandi sebelum pulang. Di rumah, saya sekali lagi mandi sebelum berjumpa isteri dan seorang anak kecil.

“Isteri saya telah mendaftar dalam aplikasi MySejahtera, tetapi­ masih belum mendapat janji temu,” katanya.

Seorang kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim yang mahu dikenali sebagai Hashim, 49, pula berkata, dia bertugas di bahagian kecemasan hospital itu dan risiko untuk dijangkiti Covid-19 adalah tinggi.

Katanya, dia telah menerima vaksin, namun isterinya berusia 48 tahun serta empat anak ber­usia antara 9 hingga 21 tahun pula belum divaksinasi.

“Saya perlu mandi dan menukar pakaian terlebih dahulu serta berehat di luar rumah selama kira-kira sejam sebelum boleh bertemu mereka,” katanya.

Di Kota Tinggi, seorang ko­peral dari sebuah balai polis yang mahu dikenali sebagai Azlan, 34, berkata, ahli keluarga terutama­nya isteri dan anak-anak berdepan risiko jangkitan Covid-19.

Kata Azlan, isterinya sudah mendaftar vaksin sejak Februari lalu, tetapi sampai sekarang belum ada janji temu.

“Kami bertugas di sekatan jalan raya (SJR), membuat rondaan dan tangkapan, jadi kita tak tahu status kesihatan suspek yang ditahan,” ujarnya.

Seorang lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Sarjan Mohd. Ridzuan, 33, juga meluahkan kerisauan yang sama.

“Kami bukannya nak demand, tetapi ini berkaitan isu keselamatan keluarga.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, ramai kalangan anggota membeli peralatan sanitasi bagi mem­basmi kuman. Kos pembelian antara RM70 hingga RM120.

“Hari-hari keluarga berisiko dijangkiti Covid-19, kalau sudah lengkap vaksin, sekurang-kurang ada pelindung diri,” katanya.

Di Kota Bharu, seorang kope­ral, Daud Samat, 57, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas berkata, dia merupakan antara anggota yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Ra­watan Covid-19 serta mengiringi tahanan atau jenazah Covid-19.

Katanya, lebih merunsingkan dirinya ketika pulang ke rumah adalah isteri, Junsarah Deraman, 51, dan seorang daripada dua anaknya yang belum menerima panggilan suntikan vaksin.

“Tugas harian saya bergelumang dengan tahanan dan menjadi pengiring jenazah Covid-19 ke tanah perkuburan setiap hari.

“Jika tak jaga prosedur operasi standard, kemungkinan besar virus itu akan menjangkiti saya dan sete­rusnya keluarga di rumah,” katanya.

 

Sanggup berkorban tidak balik rumah demi isteri hamil

KEMAMAN – Demi keselamatan keluarga, seorang pegawai polis sanggup tidak pulang ke rumah­nya sejak hari pertama Aidiladha baru-baru ini selepas ditugaskan menjaga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Mukim Bandi dekat sini.

Ketua Polis Balai Chukai, Inspektor Ramizan Ramli berkata, dia terpaksa menahan kerinduan terhadap isteri, Nour Aleesa Abdullah, 32, dan anaknya kerana bimbang keluarganya terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Katanya, beliau hanya dapat melepaskan kerinduan terhadap isteri dan anaknya menerusi panggilan video.

“Isteri saya sedang hamil lima bulan anak kedua kami, lagipun saya mempunyai anak kecil ber­usia setahun enam bulan.

“Saya ambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah buat sementara kerana bimbang dijangkiti Covid-19 dan keluarga pula akan terdedah,” katanya di sekatan jalan raya (SJR) Bandar Cheneh Baru di sini semalam.

Ramizan berkata, apa yang lebih membimbangkan, isterinya yang sedang hamil masih belum menerima suntikan vaksin.

“Saya telah me­nerima vaksin, tetapi bimbang jika berlaku apa-apa yang tak diingini terhadap kandungan isteri,” katanya.

Ramizan berkata, meskipun PKPD Mukim Bandi berkuat kuasa mulai hari kedua Aidiladha, dia mengambil keputusan tidak pulang ke rumah kerana bertugas menguruskan mayat seorang lelaki yang memakai gelang kuarantin.

“Sewaktu uruskan mayat itu, saya memakai memakai pakaian perlindungan diri dan keputusan lelaki itu positif Covid-19 diketahui keesokan harinya.

“Walaupun memakai PPE, rasa bimbang tetap ada,” katanya yang tinggal sementara di pejabat atau khemah SJR.

Ramizan melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya di SJR Bandar Baru Cheneh, Kemaman baru-baru ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN