fbpx
SUASANA hijau dan tenang di persekitaran Taman Tasik Taiping menggamit pelancong luar untuk berkunjung saban tahun.

Aura Tasik Taiping masih ‘berbisa’ tarik pelawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMANDANGAN indah Taman Tasik Taiping yang dihiasi landskap menghijau daripada lebih 75 spesies pokok antaranya, hujan-hujan, teratai putih, seroja dan tembusu menjadikannya lokasi wajib apabila berkunjung ke Taiping, Perak.

Taman tersebut yang merupakan tapak bekas perlombongan bijih timah lebih 130 tahun lalu di Taiping yang dahulunya dikenali sebagai Klian Pauh sangat popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Selain menawarkan panorama indah, taman itu turut menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti merakam gambar, berjoging, berbasikal serta bersantai bersama keluarga.

Salah seorang pengunjung setia, Badrul Akram Badaruddin, 30, menjadikan Taman Tasik Taiping sebagai lokasi penting untuk dia merakam gambar termasuk sesi fotografi bagi mengabadikan foto perkahwinan pelanggannya.

TAMAN Tasik Taiping berkeluasan kira-kira 64 hektar itu mempunyai pelbagai komponen landskap yang saling melengkapi antara satu sama lain, sehingga menjadikannya antara taman awam tercantik di Malaysia.

“Sepanjang bertugas sebagai jurugambar sambilan sejak sembilan tahun lalu, saya telah kunjungi pelbagai lokasi untuk melaksanakan tugasan tersebut, tetapi di sini mempunyai aura dan keistimewaan tersendiri.

“Taman Tasik Taiping bukan sahaja lokasi kegemaran saya untuk merakam gambar kenangan, tetapi turut menjadi tempat bersantai bersama keluarga serta berjoging pada hujung minggu,” katanya.

Memetik kenyataan daripada laman web rasmi Majlis Perbandaran Taiping, taman tersebut telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara berdasarkan Akta 645 @ Akta Warisan Kebangsaan.

Ia antara lokasi yang aktif di Taiping dan paling banyak menerima kunjungan pelawat sejak dari awal pembukaannya lebih satu abad lalu.

Dianggarkan lebih sejuta pelawat berkunjung ke Taman Tasik Taiping saban tahun.

Taman yang berkeluasan kira-kira 64 hektar itu mempunyai pelbagai komponen landskap yang saling melengkapi antara satu sama lain, sehingga menjadikannya antara taman awam tercantik di Malaysia.

Taman Tasik Taiping yang merupakan taman awam pertama dalam sejarah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada awalnya dibangunkan mengikut konsep Rolling Meadows.

Konsep itu mengadaptasi kawasan hijau dan lapang berkontur serta pokok-pokok besar sebagai elemen utama serta tasik sebagai pelengkap landskapnya.

KEUNIKAN dan keindahan Taman Tasik Taping menjadikannya antara lokasi wajib untuk mengabadikan foto perkahwinan.

Catatan sejarah pernah menceritakan keindahan Taman Tasik Taiping kelihatan seolah-olah menyamai Kensington Park di London iaitu sebuah taman awam yang tersenarai dalam lapan Royal Park tercantik di London.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung setia, Ery Syazwan Mahd. Saat, 31, berkata, pokok hujan-hujan yang berusia ratusan tahun merupakan antara tarikan utama pengunjung yang datang ke Taman TasikTaiping sejak sekian lama.

Katanya, susana redup dilindungi oleh pepohonan menghijau itu akan membuatkan sesiapa sahaja berasa tenang dan relaks.

“Lokasinya strategik dan berdekatan dengan tempat tarikan lain seperti Zoo Taiping serta Bukit Larut.

“Ini membuatkan orang ramai wajib berkunjung ke taman ini apabila datang ke Taiping,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.