fbpx

Polis terima laporan media ‘ceroboh’ PKRC MAEPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PKRC MAEPS

SEPANG  – Tindakan enam petugas media daripada pelbagai agensi memasuki ke kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), tanpa kebenaran pada Isnin lalu, membawa padah apabila satu laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan PKRC terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehawan Mohamed berkata, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan PKRC Bersepadu (PKRCB) MAEPS semalam, yang melaporkan terdapat enam petugas media daripada pelbagai agensi masuk ke kawasan PKRC tersebut antara pukul 11 pagi hingga 1 petang tanpa kebenaran.

“Kawasan tersebut merupakan sebuah dewan yang menempatkan seramai 496 pesakit wanita yang positif Covid-19.

“Dewan di kawasan PKRCB MAEPS telahpun diwartakan sebagai tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Penyakit Berjangkit Covid-19 dan orang luar dilarang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Md. Noor Aehawan berkata, siasatan mendapati salah seorang petugas media itu membuat laporan secara langsung semasa berada di dalam dewan tersebut.

Beliau berkata, setakat ini, polis telah merakam keterangan 17 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) terdiri daripada doktor dan jururawat bertugas semasa kejadian bagi membantu siasatan bertujuan mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran petugas media di dalam dewan tersebut.

“Sehubungan itu, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan membuat rakaman siaran langsung di dalam kawasan dilarang sehingga menampakkan pesakit Covid-19 yang sedang dirawat, juga akan dibuat,” katanya.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan segera sebelum siasatan dimajukan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI