fbpx

Alif Satar kedepankan The Locos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIF & The Locos kini semakin teguh dan setia bersama.

MENDEPANI kehidupan sebagai seorang artis rakaman, seseorang itu boleh menggapai pelbagai kejayaan. Populariti, kepercayaan daripada peminat, wang ringgit dan sebagainya, namun tidak sama dengan harga kepuasan dapat setia merakamkan muzik dengan band atau kugiran.

Lima tahun bersama, Alif & The Locos barangkali merasakan perihal sama. Kalau tanya kepada mana-mana anak seni yang berpredikat penyanyi, ‘minus one’ adalah jalan terakhir mereka akan pilih terutama ketika menyampaikan ‘mesej’ melakukan persembahan pentas.

“Sudah lima tahun, sekarang ini dah ada perkataan Alif & The Locos ‘at heart’. Nak nyanyi dan buat persembahan pun, kena ada The Locos,” kata Alif atau nama lengkapnya, Muhammad Alif Mohd. Satar, 31.

Tampil dengan single terbaharu berjudul Anugerah Terindah, kata Alif, banyak perkara yang sudah dilalui bersama sebagai satu pasukan dan semua itu mematangkan perjalanan kerjaya solonya dan bersama The Locos.

Dari konsert di Singapura (bersama Siti Nordiana), persembahan ‘kasual’ di pentas Hard Rock, konsert mini jelajah di United Kingdom (UK) dan rakaman projek studio, semuanya dilakukan bersama band berkenaan sejak lima tahun sudah.

“Pejam celik dah lima tahun. Sekarang muncul dengan Anugerah Terindah. Sebenarnya, lagu ini dah siap 2019. Kalau ikut perancangan awal nak lancar pada 2020, kemudian pandemik Covid-19 menghimpit negara.

“Tangguh punya tangguh, sekarang baru dapat terbitkan. Lagu ini kita mula dibuahkan idea ketika berada di Sheffield (UK). Waktu tu semua ‘jetlag’ lepas 13 jam penerbangan dan empat jam pemanduan kereta.

“Saya ke bilik mereka sekitar pukul 4 pagi, semua mata terbeliak (ketawa). Dari situlah, proses kreatif bermula sampailah diselesaikan apabila pulang ke Kuala Lumpur,” cerita Alif.

LIMA tahun sentiasa ada dalam setiap pekerjaan muzik dan kemunculan pentas melibatkan Alif, kini tiba untuk The Locos tidak lagi berada di belakang tabir.

Pengaruh Bruno Mars

Diajak berbicara tentang trend membawa sekali band iringan ‘ke hadapan’, suami kepada Sha Dila Halid tidak menafikan bahawa dia dan empat ahli kumpulan The Locos mendapat ilham daripada projek yang dikerjakan kebanyakan artis antarabangsa seperti The Hooligans yang dikepalai Bruno Mars, begitu juga dengan Silk Sonic.

“Pengaruh seperti apa yang disebutkan itu memang tinggi. Kalau kita tengok artis legenda seperti mendiang Michael Jackson dan Robbie Williams, mereka suka melakukan persembahan bersama band.

“Jadi, kalau orang kata Alif & The Locos macam ada gaya Bruno Mars dan bandnya, itu membuatkan kami rasa selesa dan ingin terus melakukan kerja yang lebih baik selepas ini.

“Pada masa sama, kami nak cipta ‘bunyi’ sendiri. Maksudnya, kalau orang dengar lagu kami di corong radio misalnya, mereka tidak perlu meneka lama, mereka tahu itu adalah Alif & The Locos,” katanya.

Melanjutkan perbualan, Alif menjelaskan, buat masa sekarang, dia tidak melihat dirinya sebagai penyanyi solo kerana lebih selesa bersama The Locos.

“Sebagai artis rakaman dan secara peribadi, saya tak nampak diri sebagai penyanyi solo, namun tak bermakna, saya takkan ada projek berseorangan.

DARI kiri, Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Alif Satar (vokal), Rajwan Juni (dram), Faliq Auri (saksofon). – WARNER MUSIC MALAYSIA

Kesempurnaan

“Kalau pun saya buat projek solo, akan tetap ada The Locos di belakang. Mereka ada bersama saya. Kalau boleh, berlakon pun saya mahu bawa mereka sekali,” ujarnya.

Sudah menjadi resmi projek berkumpulan, aspek kesempurnaan memberi anjakan semangat untuk melahirkan karya terbaik buat peminat.

Melayangkan pertanyaan bagaimana bekerja dengan Alif, salah seorang ahli The Locos, Tam Cobain memaklumkan, lelaki itu bukanlah seorang yang cerewet tetapi lebih kepada seseorang yang sangat mengutamakan kesempurnaan.

“Senang bekerja dengan Alif terutama ketika sesi rakaman di studio. Dia bukan cerewet tetapi sangat mengambil perhatian terhadap semua perkara waima sekecil-kecil hal.

“Saya percaya, itu dilakukannya untuk memastikan hasil akhir nanti bukan sahaja memuaskan hati kami tetapi sesiapa yang mendengar.

“Seperkara lagi, dia bukan hanya memberikan pandangan tetapi menerima pandangan, itu kualiti yang bagus untuk semua ketua,” kata Tam Cobain yang bermain di posisi gitar.

THE LOCOS menganggap Alif Satar bukan sekadar seorang penyanyi yang baik,
bahkan seorang ketua yang sangat teliti walaupun dalam sekecil-kecil perkara.

Dalam pada itu, Faliq Auri berkata, Alif bukan hanya seorang ketua, dia juga seorang penasihat yang bagus dan jarang kedengaran sumbang ketika menyanyi.

“Satu yang ‘best’ tentang Alif, dia tahu menyanyi. Saya dilahirkan dengan bakat boleh ‘detect’ (mengesan) notasi.

“Alif kalau nyanyi, semua notasi dia tepat.

“Selain memiliki kualiti seorang ketua yang bagus, dia juga bertanggungjawab menjadikan saya kelihatan agak ‘runcing’ sekarang.

“Dahulu berat badan saya 96 kilogram, sekarang dah turun sebab dia,” jelas Faliq selaku pemain saksofon.

Anugerah Terindah mempertaruhkan genre pop, R&B dan mempunyai sedikit pengaruh muzik 1990-an.

Lagu ciptaan Alif, Efry, Romeo, Shah Shamsiri dan Tam Cobain tersebut boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, dan Deezer bermula 23 Julai lalu, manakala video muzik rasmi juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Warner Music Malaysia bermula tarikh sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI