fbpx
FATTAH AMIN

Sebuah penawar, penyerahan jiwa Fattah Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDEMIK tidak mematahkan semangat pelakon yang juga seorang penyanyi, Fattah Amin untuk melancarkan single terbaharunya berjudul Hamba.

Hal ini kerana, karya terbaharu ciptaan Hafiz Hamidun dan Mel Ramlan tersebut hadir pada waktu yang tepat dan boleh diibaratkan sebagai ‘penawar’ kepada kedukaan yang dialami khalayak ramai akibat pandemik Covid-19.

“Lagu Hamba merupakan karya ketiga dalam projek khas bersama Hafiz Hamidun selepas Kiriman Agung dan Sinar Selawat. Dua lagu sebelum ini ada kaitan dengan kelahiran anak saya, Nur Fatima Aisya.

“Berbeza dengan Hamba, lagu tersebut berkisar tentang penyerahan jiwa seorang hamba kepada Allah. Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian, kita jangan mudah putus asa.

“Sebagai hamba kita hanya mampu berdoa dan dengan izin Allah pasti akan ada jalan keluar daripada segala masalah. Jadi, lagu Hamba amat sesuai dengan situasi yang dialami oleh kita semua pada masa ini,” ujar Fattah membuka bicara.

Justeru, demi mencipta kelainan dan memberi yang terbaik kepada pendengar, pemilik nama sebenar, Abdul Fattah Mohd. Amin itu sanggup menunggu selama hampir setahun untuk menyiapkan Hamba.

BEKERJASAMA dengan Kmy Kmo dalam lagu Hamba, Fattah sangat berpuas hati dengan kreativiti dan gaya penyampaian rapper itu.

Akui Fattah, selain proses rakaman yang tertangguh beberapa kali kerana situasi pandemik, lagu tersebut juga dibikin dengan cukup teliti sehingga dirombak sebanyak lima kali sebelum mendapatkan karya akhir.

“Kekangan yang dihadapi adalah saya tidak dapat ke studio rakaman kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain saya merombak lagu ini sebanyak lima kali sehingga berpuas hati.

“Sebab itu, lagu ini mengambil masa setahun untuk disiapkan,” ujar Fattah yang ditemu bual dalam sidang akhbar virtual sempena pelancaran lagu Hamba baru-baru ini.

Tambah lelaki berusia 31 tahun itu, walaupun karyanya berunsur ketuhanan, namun dia cuba bereksperimen dengan menyuntik elemen muzik Latin dan reggaeton, selain berkolaborasi dengan penyanyi rap Kmy Kmo.

KMY KMO

“Saya berikan lagu-lagu Sepanyol sebagai rujukan kepada Hafiz. Saya inginkan melodi seperti raggaeton atau Latin. Untuk Hamba, saya tidak mahu jadi seperti lagu ketuhanan yang sudah boleh jangka,” kata

Fattah tentang lagu yang judul asalnya adalah Manusia Biasa sebelum ditukar kepada Hamba.

Sungguhpun berkolaborasi bersama Kmy Kmo dalam lagu Hamba, mereka sebenarnya tidak pernah bertemu sehingga ke hari ini. Segala proses rakaman bersama penyanyi rap itu dijalankan secara dalam talian.

“Sebenarnya saya memilih Kmy Kmo secara rawak sahaja. Sebelum itu, terdapat penyanyi rap lain yang sudah ada dalam senarai, tetapi dirasakan tidak sesuai dengan saya. Saya terkejut dan tidak menyangka Kmy Kmo seorang yang sangat berbakat.

“Selepas menyiapkan bahagian saya, Kmy menyambung dengan menulis lirik dan membuat melodinya sendiri. Di saat saya mendengar versi akhir sentuhan Kmy terasa sudah cukup lengkap dan tidak perlu sebarang perubahan lagi,” ujar Fattah yang kini sedang merancang untuk mengumpulkan semua lagu yang pernah dikeluarkan dalam sebuah album mini.

PALING terkilan sepanjang pandemik, Fattah tidak berpeluang menziarahi jenazah neneknya yang dikebumikan di Perak.

Kehilangan

Berbicara tentang kerjaya lakonannya pula, Fattah menjelaskan bakal muncul dengan sebuah drama untuk slot Samarinda di TV3, selain menggalas tugas selaku pengacara untuk sebuah program 13 episod terbitan Astro Awani.

“Jika saya mahu bertahan lama dalam industri dan karya diterima, saya tidak boleh menjadi pelakon yang stereotaip. Saya mahu melakonkan watak berbeza dan cuba mencari kelainan.

“Buat masa sekarang saya hanya menunggu kerajaan mengumumkan kebenaran untuk melakukan penggambaran, jika tidak semuanya masih dalam peringkat perancangan. Saya amat berharap industri seni akan kembali bekerja seperti biasa,” ujar Fattah.

Tambahnya, dia juga terkesan apabila perniagaan restoran Meat Cartel miliknya turut terjejas dari segi jualan akibat pandemik, apatah lagi pekerja-pekerja belakang tabir yang merupakan ‘freelancer’.

“Saya akui, perniagaan memang terjejas buat masa ini, namun ada membuat perkhidmatan penghantaran. Itu sedikit sebanyak membantu dan berharap situasi akan kembali pulih apabila pelanggan dibenarkan makan di kedai semula.

“Saya bernasib baik kerana masih ada perniagaan dan terikat dengan beberapa kempen. Sama-sama kita doakan agar semuanya kembali pulih,” ujar Fattah.

Jelas juara Hero Remaja 2011 itu lagi, perkara yang paling membuatnya tersentuh sepanjang pandemik berlaku adalah tidak dapat pulang ke kampung halaman di Bagan Datuk, Perak untuk menziarahi arwah neneknya buat kali terakhir.

FATTAH turut meluahkan rasa kesyukuran apabila isterinya, Fazura kini telah berhijab sepenuhnya.

“Secara peribadi momen yang paling memberi kesan adalah tidak berkesempatan untuk berjumpa arwah nenek buat kali terakhir. Arwah nenek meninggal dunia ketika musim pandemik dan jenazahnya dihantar ke kampung di Perak.

“Untuk pulang ke Perak memerlukan surat dan beberapa dokumen lain, jadi saya tidak sempat untuk melihat arwah nenek,” ujar Fattah.

Sungguhpun demikian, Fattah menyedari lebih ramai orang di luar sana yang lebih terkesan sehingga ada yang membunuh diri kerana tekanan ekonomi dan emosi. Terkilan dengan suasana tersebut, Fattah berharap semua orang harus sentiasa berfikiran positif.

“Dengar sahaja berita bunuh diri, saya sendiri begitu terasa dan sedih. Sampai begitu sekali pandemik ini mengajar kita. Jika tidak uruskan emosi dengan baik dan berpegang kuat pada agama perkara sebegitu boleh berlaku,” luah Fatah

Fazura bertudung

Sejak bergelar bapa kepada anak kecil Aisya yang kini berusia sembilan bulan, pelakon filem KL Special Force itu menjelaskan, kehidupannya kini terasa begitu lengkap. Hari-harinya dilewati dengan menemani cahaya mata tercinta tanpa lelah.

Meskipun dalam keadaan terpaksa berkurung di rumah, Fattah tidak berasa bosan kerana baginya inilah peluang untuk belajar menjadi seorang bapa.

“Sepanjang PKP saya hanya duduk di rumah cuba belajar ‘bahasa’ Fatima (ketawa). Saya memang tidak berani keluar rumah jika tiada sebarang urusan memandangkan kes Covid-19 sangat tinggi. Saya hanya akan ke pejabat dan berada di rumah menemani Fatima,” kongsi Fattah tentang rutin terbaharunya.

Dalam pada itu, Fattah turut mendedahkan, destinasi pertama yang ingin dilawati bersama anaknya selepas pandemik Covid-19 berakhir adalah zoo.

Terang Fattah, sejak Covid-19 melanda, Fatima hanya terperap di rumah berbeza dengan anak-anak lain yang lahir sebelum pandemik.

“Tempat pertama yang saya teringin bawa Fatima adalah zoo. Sebabnya saya selalu bacakan buku tentang haiwan kepadanya, tetapi dia sendiri tidak tahu bunyi atau bentuk sebenar haiwan-haiwan kerana tidak pernah melihatnya secara langsung.

FATTAH bersyukur kerana doa mahu Fazura kembali kepada fitrah seorang Muslimah kini dimakbulkan Tuhan.

“Saya hanya mampu tunjuk menerusi telefon , buku dan televisyen. Suatu hari nanti andai kita semua sudah dibenarkan keluar dan keadaan kembali normal, zoo tempat pertama yang saya fikir untuk pergi,” ujar Fattah.

Selain itu, Fattah menjelaskan, dia dan isterinya sangat teliti dalam soal penjagaan Fatima sehingga timbul perasaan bimbang andai anak mereka meragam atau menangis.

“Kami memang tidak boleh dengar Fatima menangis. Perasaan terlalu sayang sangat dengannya sehingga dia meragam atau menangis sedikit pun kami sudah panik. Mula timbul persoalan, kenapa dia menangis, salah makan atau sebab lain?” ujar Fattah.

Sementara itu, Fattah turut meluahkan kesyukuran dan mengakui, isterinya yang juga seorang aktres, Nur Fazura Sharifuddin kini telah berhijab sepenuhnya.

Pendedahan tersebut diluahkan Fattah berhubung penampilan Fazura yang sebelum ini menarik perhatian ramai apabila kerap mengenakan hijab dalam setiap gambar yang dimuat naik menerusi media sosial, termasuklah yang terbaharu ketika sambutan hari raya Aidiladha baru-baru ini.

Menurut Fattah, sejak bergelar suami kepada Fazura pada 27 November 2017, dia tidak pernah berhenti memanjatkan doa agar isterinya mengubah penampilan menjadi Muslimah sebenar.

“Alhamdulillah, itu sahaja yang boleh saya katakan mengenai penampilannya. Sebagai suami, penampilan Muslimah itu yang sentiasa saya doakan selama ini. Sekarang, dia pun sudah bertudung,” kongsi Fattah.

POPULAR