fbpx
Syed Saddiq yang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi dua pertuduhan.

Syed Saddiq selesai bayar baki jaminan RM250,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai membayar baki jaminan sebanyak RM250,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam peguam Haijan Omar yang mewakili tertuduh ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun Syed Saddiq tidak hadir ke mahkamah dan hanya penjamin serta seorang lagi peguamnya datang untuk membayar baki jaminan itu.

“Tiada keperluan untuk anak guam (Syed Saddiq) hadir ke mahkamah hari ini untuk membayar baki jaminan itu,” kata Haijan.

Mengikut pertuduhan pertama bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas sebuah dana yang mana dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1juta melalui satu cek bank tempatan.

Pengeluaran yang dibuat oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA Malaysia) itu tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Kesalahan dibuat pada 6 Mac 2020 di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Tingkat Bawah, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral 2, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 405 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun yang sama.

Sabit kesalahan, Syed Saddiq boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu dilakukan menerusi akaun Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, pada 8 April hingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi pertuduhan pertama dan RM30,000 bagi pertuduhan kedua dengan masing-masing seorang penjamin.Kesemua jumlah jaminan itu berjumlah RM330,000.

Bagaimanapun hakim itu memerintahkan Syed Saddiq, membayar jaminan sebanyak RM80,000 pada hari sama dia dituduh manakala bakinya dibayar selewat-lewatnya pada esok (Selasa).

Pada 23 Julai lalu, Syed Saddiq memaklumkan telah berjaya mengumpul dana bagi membayar wang jaminan serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan.

Menerusi satu ciapan di laman Twitter, bekas beliau berhutang nyawa dengan rakyat Malaysia dan telah berjaya mengumpul sebanyak RM715,573.77 daripada 9,836 penyumbang. -K!ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR