fbpx
Gambar hiasan

Caj melampau pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hospital swasta di negara ini didakwa mengenakan caj antara RM100,000 hingga RM200,000 bagi rawatan melebihi 10 dan 15 hari ke atas pesakit Covid-19 yang dikategorikan sebagai tahap empat dan lima.

Difahamkan, kos itu dikenakan selepas mengambil kira peralatan dan jenis ubat yang dibeli dari luar negara menggunakan modal sendiri tanpa subsidi kerajaan.

Bagi pesakit pada tahap 1, 2 dan 3 pula, kos yang dikenakan antara RM10,000 hingga RM30,000 dengan purata waktu rawatan antara lima hingga tujuh hari.

Pemberitahuan mengenai caj tersebut dipamerkan oleh sebuah hospital swasta sehingga menjadi tular di laman sosial.

Beberapa pihak yang dihubu­ngi Kosmo! Ahad menyatakan kebimbangan mereka mengenai caj melampau tersebut dan mendesak kerajaan supaya menetapkan harga siling bagi mengawal kos rawatan Covid-19 oleh hospital swasta.

Mereka berpendapat, tindakan itu perlu disegerakan bagi mengelakkan pihak berkenaan mengambil kesempatan ke atas pesakit yang kini terkesan dari sudut ekonomi dan kesihatan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persa­tuan Pengguna Malaysia, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, rawatan bagi penyakit Covid-19 perlu disela­raskan kerana ia melibatkan semua pihak yang turut terkesan dari segi ekonomi.

Katanya, tambahan pula, keadaan yang sesak di hospital-hospital kerajaan memaksa pesakit mengambil keputusan berat untuk mendapatkan rawatan di premis swasta.

“Kos rawatan Covid-19 perlu diselaraskan dan bukannya ditetapkan pihak hospital, namun sekiranya hospital mahu mengenakan caj terhadap per­khidmatan-perkhidmatan lain ditawarkan melibatkan kemudahan dimiliki itu terpulang kepada mereka.

“Walaupun kita tahu kebia­saannya yang perlu mendapatkan rawatan di hospital swasta adalah dalam kalangan orang berkemampuan atau pemilik insurans, namun kos untuk mengubati Covid-19 perlu ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, N.V. Subbarow berkata, kos rawatan Covid-19 yang mencecah RM200,000 adalah sangat tinggi dan tidak berpatutan.

Katanya, kadar rawatan tersebut tidak sepatutnya dikenakan ketika ramai yang menjadi ­mangsa wabak tersebut.

“Kita tertanya-tanya adakah harga yang ditetapkan itu dipersetujui oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kalau ya, siapa yang memberikan ­kebenaran untuk harga ber­kenaan.

“Mekanisme bayaran kos hospital swasta untuk merawat pesakit Covid-19 mesti ditentukan KKM. Kita berharap agar kos yang dikenakan tidak memberi kesan kepada rakyat terutama­nya kepada pesakit yang tidak mempunyai insurans,” katanya.

 

Caj mahal kerana ubat, peralatan

PETALING JAYA – Pihak hospital swasta yang mengenakan caj tinggi ke atas pesakit Co­vid-19 diminta mengkaji semula harga tersebut yang dilihat agak membebankan dan melampau.

Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, caj rawatan melampau itu dikenakan kepada pesakit yang berada dalam kategori empat dan lima.

“Kita faham, caj rawatan yang dikenakan kepada pesakit Co­vid-19 dibuat berdasarkan polisi hospital swasta masing-masing memandangkan setiap fasiliti perubatan itu mempunyai skema pembayaran tersendiri.

“Bagaimanapun, kami berharap agar caj dikenakan itu dapat dikaji dan dipertimbangkan semula oleh pihak hospital swasta lebih-lebih lagi dalam meri­ngankan beban orang ramai ketika situasi getir ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Jenis ubat dan peralatan yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 oleh hospital swasta menjadi punca kos rawatan meningkat. – Gambar hiasan

Tambahnya, kos rawatan mahal itu dikenakan memandangkan pesakit pada tahap empat dan lima memerlukan pemantauan rapi berbanding kategori satu, dua dan tiga.

Menurut Dr. Zainal Ariffin, pesakit kategori empat dan lima sudah berada pada tahap kritikal dan perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi yang menggunakan pelbagai peralatan khas, ubat dan pemantauan pakar.

“Tempoh rawatan juga mengambil masa agak lama iaitu kira-kira dua minggu atau lebih, jadi kos dikenakan sedikit mahal. Walaupun begitu, kami berharap agar caj itu dapat dikaji semula demi orang ramai,” rayunya.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) juga perlu berbuat sesuatu agar caj yang dikenakan adalah munasabah.

“Jadi, kami minta CKAPS membuat satu pengesahan supaya dapat dijadikan panduan oleh orang ramai sekiranya mahu mendapatkan rawatan di hospital swasta,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN