fbpx

Jemaah haji Malaysia tinggalkan Mina hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar jemaah haji keluar dari Masjid Namirah mendengar khutbah Arafah pada pada Isnin lalu. - Foto kredit: AHMAD NAJHAN HASSIM

PETALING JAYA – Jemaah haji Malaysia mematuhi arahan waktu melontar di Kompleks Jamrah dan dijangka nafar awwal iaitu meringkaskan tempoh pelaksa­naan ibadah dan meninggalkan Mina pada 12 Zulhijah hari ini.

Seorang jemaah, Nazirah Jamaluddin, 59, berkata, dia kini sedang menunggu untuk melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu Sugra, Wusta dan Kubra pada hari tasy­rik.

“Alhamdulillah perjalanan ibadah haji berjalan lancar walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas. Insya-Allah saya akan buat nafar awwal pada hari kedua melontar iaitu pada 12 Zulhijah (hari ini).

“Rata-rata jemaah haji pada tahun ini nafar awwal kerana jemaah dikawal rapi dan tidak boleh sewenang-wenangnya keluar masuk ke khemah penginapan di Mina,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tujuan nafar awwal dibuat adalah untuk meringkaskan tempoh pelaksanaan ibadah haji de­ngan antara syarat-syarat pelaksanaannya ialah jemaah perlu meninggalkan Mina sebelum matahari terbenam pada 12 Zulhijah.

Selain itu, jemaah tersebut te­lah menyempurnakan kesemua lontaran di ketiga-tiga jamrah bagi dua hari tasyrik iaitu pada 11 dan 12 Zulhijjah serta telah bermabit di Mina selama dua malam dengan sempurna.

Ibu kepada empat cahaya mata berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, pergerakan jemaah adalah secara berkumpulan mengikut ejen masing-masing.

Seorang lagi jemaah haji dari Malaysia, Ahmad Najhan Hassim, 30, berkata, jika diikutkan, kerja-kerja haji yang wajib sudah selesai semalam selepas jemaah melontar Jamratul Aqabah dan usai daripada itu jemaah sudah boleh bercukur dan tidak perlu lagi memakai ihram.

“Jadi untuk hari ini (semalam) dan esok (hari ini) cuma tinggal melontar ketiga-tiga jamrah de­ngan waktu afdal melontar ialah selepas azan zuhur nanti,” katanya.

Waktu zuhur di Tanah Suci Mekah pada semalam ialah pada pukul 12.27 tengah hari atau pukul 5.27 petang waktu Malaysia.

Jururawat di Hospital Pakar King Faisal, Jeddah itu menjelaskan terdapat dua tarikh akhir haji iaitu bagi yang nafar awwal ialah hari ini iaitu selepas selesai melontar dan melakukan tawaf wada (selamat tinggal) sebelum tergelincirnya matahari.

“Bagi yang nafar thani iaitu jemaah yang melaksanakan ibadah haji seperti biasa akan berakhir pada 13 Zulhijah (Jumaat),” jelas anak jati Selangor itu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI