fbpx

Bantu penggiat muzik, RIM tubuh Dana Tabung Kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INISIATIF amal RIM dimulakan dengan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada pemain gitar Search, Kid bagi menampung kos rawatan isterinya yang menghidap kanser darah

PETALING JAYA – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengambil inisiatif membantu pengamal industri muzik yang memerlukan bantuan kewangan segera menerusi pembentukan Dana Tabung Kecemasan.

Di bawah inisiatif berkenaan, penerima terpilih dalam kalangan yang terbabit atau pernah menyumbangkan sesuatu kepada industri rakaman termasuk, terjejas atau hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, pihak cukup sedar, membaca dan mendengar penderitaan ramai pengamal industri muzik yang berjuang untuk memenuhi keperluan harian disebabkan impak pandemik.

“Situasi ini menghentikan projek rakaman lagu dan membataskan peluang menjana pendapatan lain malah pertunjukan secara langsung juga terhenti dengan adanya sekatan yang dilaksanakan.

“Keadaan ini menyukarkan eko-sistem dunia muzik dalam menjana pendapatan berterusan untuk kelangsungan hidup kebanyakan penggiat muzik tanah air ,” katanya.

Rosmin berkata, sejak pelantikan Ahli Majlis Baru RIM untuk penggal 2021-2023, pihaknya aktif merangka pelbagai strategi mengembangkan industri muzik tempatan yang dapat dimanfaatkan semua ahli dan industri muzik secara keseluruhan.

“Dana Tabung Kecemasan ini adalah satu inisiatif utama yang memerlukan pelaksanaan segera. Ia kerana kesukaran yang melanda ramai pengamal industri muzik disebabkan pandemik.

“Sumbangan kami kepada pihak terbabit akan mematuhi parameter dan syarat tertentu serta berharap ia memberi sedikit kelegaan kepada penggiat seni muzik yang terjejas” ulasnya.

Pada masa sama, RIM juga merancang menganjurkan aktiviti pengumpulan dana yang berskala lebih besar dengan kerjasama Persatuan Penerbit Malaysia (MPA).

“Usahasama ini membabitkan pertandingan menulis lagu dan proses bidaan lagu yang membantu kami mengumpul lebih banyak dana untuk diberikan kepada kelompok sasaran.

“RIM juga akan terus meneroka peluang kerjasama lain dengan kumpulan atau badan yang berkaitan dengan industri muzik bagi tujuan sama,” tambah Rosmin lagi.

Sementara itu, inisiatif amal RIM dimulakan dengan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada pemain gitar Search, Kid bagi menampung kos rawatan isterinya yang menghidap kanser darah.

Sumbangan sama juga akan diberikan kepada komposer terkenal, Ross Ariffin yang nasib malangnya dipaparkan menerusi media, baru-baru ini.

RIM juga menjalin kerjasama dengan Persatuan Pemuzik Malaysia (MfM) untuk mengagihkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada 20 pemuzik rakaman yang tidak dapat mencari nafkah dengan ketiadaan projek rakaman lagu dan penutupan pusat hiburan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI