fbpx
NABILA yang mempunyai seorang anak, Keisha Laila (gambar kanan, kiri) kini sedang berusaha mendapatkan zuriat baharu dalam keluarganya.

Susah hamil, Abil menyesal tak pantang betul-betul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Menghampiri usia 40 tahun, pelakon Nabila Huda tetap menyimpan harapan untuk sekali lagi menimang cahaya mata selepas dua kali mengalami keguguran sebelum ini.

Bagaimanapun setakat ini, usahanya belum membuahkan hasil walaupun setiap bulan menghitung hari dan berharap dikurniakan rezeki untuk hamil lagi.

“Kenapa susah sangat ni? Setiap bulan mesti saya akan kira hari dan mengharap, tapi mesti tak sangkut juga.

“Tapi saya tak adalah kecewa sangat. Saya reda sebab nak bagi rezeki pada kita, Dia. Kalau Dia tak bagi, mesti bersebab. Mungkin belum masanya,” katanya dalam satu hantaran menerusi InstaStory.

Tambah pelakon Diva Popular itu, dia beranggapan bahawa kesukarannya untuk kembali hamil berkemungkinan disebabkan faktor tidak menjalani rutin berpantang seperti biasa sewaktu mengalami keguguran.

“Saya betul-betul tak tahu dan menyesal sangat. Mungkin itu adalah salah satu punca kenapa tak boleh hamil? Benci kan bila dah mula negatif.

“Okey, kena positif. Saya kena pulihkan apa yang patut. Boleh kan walaupun kita dah lama keguguran tapi nak ganti balik pantang tu? Masih tak terlambat kan? Mungkin membantu saya untuk kembali hamil lagi,” katanya.

Ujar Nabila atau mesra disapa Abil, dia sebenarnya sangat berharap untuk dikurniakan zuriat yang ramai sebelum usianya menginjak 40 tahun dalam masa tiga tahun lagi, namun memilih berusaha menggunakan cara tradisional.

Pada masa sama, pelakon itu turut meminta bantuan daripada pengikut Instagramnya untuk berkongsi idea dan pakej berpantang terbaik.

“Saya terlalu nak sangat ada zuriat. Tak tahu macam mana nak terangkan. Selagi tak kerja dan ada masa lapang banyak, baik saya buat pakej berpantang.

“Saya perlu berusaha tak kira macam mana pun. Saya nak anak ramai lagi. Tapi saya nak maklumkan, proses rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF) tiada dalam senarai sebab saya dah pernah melahirkan sebelum ini. Jadi untuk sekarang, saya nak usaha dengan cara tradisional dulu,” katanya.

Dalam pada sedang berusaha mendapatkan zuriat, Abil dikatakan akan menjadi pengacara rancangan Melodi bagi menggantikan posisi Awal Ashaari dan Janna Nick.

Perkara berkenaan timbul selepas Awal menerusi InstaStorynya beberapa hari lalu seakan memberi bayangan bahawa Abil akan mengendalikan rancangan berkenaan dan sibuk dengan kerja setiap hujung minggu selepas ini.

Sebelum ini, Abil yang mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Izwan Johar pada 2015 pernah mengalami keguguran dua kali pada April 2019 dan Oktober tahun lalu.

Dia memiliki seorang anak bernama Keisha Laila yang berusia 11 tahun menerusi perkahwinan terdahulu. – K! ONLINE

POPULAR