fbpx

Telur ayam naik harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

PETALING JAYA – Harga pasaran telur ayam bagi semua gred menyaksikan kenaikan antara 20 sen hingga RM1.30 sepapan di seluruh negara sejak minggu lalu.

Kenaikan yang disifatkan paling tinggi itu menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna kerana terpaksa mengeluarkan belanja lebih pada ketika ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kenaikan itu didorong kurangnya bekalan daripada peladang selain permintaan yang tinggi.

Di Ipoh, seorang suri rumah, Dewi Zulaikha Hanis Hanapiah berkata, kenaikan harga telur ayam sebelum ini adalah lazim namun harga jualan ketika ini sangat tinggi dan membebankan.

“Bulan lalu harga telur ayam gred C antara RM9.80 hingga RM10.50 sepapan, jadi kenaikan ketika ini tinggi bagi keluarga berpendapatan kecil,” katanya di sini semalam.

Di Alor Setar, tinjauan di beberapa buah kedai runcit dan pasar raya mendapati harga telur ayam gred A meningkat daripada RM12 kepada RM13.10 sepapan manakala gred B daripada RM10.80 kepada RM 11.90 dan gred C daripada RM10 kepada RM11.30.

Seorang pengurus sebuah pasar raya di bandar berkenaan, Nur Anisa Ishak berkata, mereka terpaksa menaikkan harga kerana bekalan yang terhad selain kenaikan harga daripada peladang.

“Kami dimaklumkan banyak ladang ternakan tidak beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyebabkan bekalan berkurangan.

“Namun kami hanya menaikkan harga sekitar 30 sen sepapan kerana tahu ramai pelanggan juga kurang mampu tambahan di musim perayaan ini,” katanya

Jelasnya, pihaknya menjual telur gred A RM12.30, gred B (RM11.70) dan gred C (RM 11.10).

Sementara itu, di Johor Bahru, seorang pengusaha restoran Rohana Miskun, 53, berkata, kenaikan harga telur sehingga 30 sen sepapan memberi kesan kepada perniagaannya.

Katanya, minggu lalu dia membeli bekalan telur gred F pada harga RM8.19 sepapan namun harga naik kepada RM8.29.

“Sudahlah kami berdepan situasi sukar ketika ini disebabkan tidak ramai pelanggan dan keuntungan merudum teruk.

“Saya berharap agar pihak bertanggungjawab melihat keadaan ini agar beban yang dihadapi bukan sahaja peniaga malah orang ramai yang cukup terkesan sekarang ini,” ujarnya.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, seorang pemborong, Syazanil Adha berkata, pengilang memaklumkan kenaikan tersebut disebabkan pengurangan pengeluaran telur ayam semasa sedangkan permintaan kini agak tinggi berikutan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Katanya, pengurangan pengeluaran tersebut juga menyebabkan pengilang bertindak mengehadkan kuantiti stok telur yang boleh diedar ke pasaran.

Jelas beliau, syarikat pemborongnya kini hanya menerima bekalan 3,000 papan telur ayam seminggu sedangkan kebiasaannya keperluannya bagi tempoh sama adalah 10,000 papan.

“Pelanggan merungut harga naik namun kami tiada pilihan kerana kenaikan berpunca daripada peringkat pengilang lagi.

“Begitupun permintaan dalam kalangan pengguna masih tinggi mungkin kerana sambutan Hari Raya Aidiladha selain telur ayam merupakan antara sumber protein termurah,” jelasnya.

Ujarnya, golongan kebanyakan memilih telur gred B dan C sesuai dengan kemampuan mereka.

“Keluarga berpendapatan tinggi dan peniaga kuih pula lebih gemar telur gred AA dan A.

“Saya juga melihat trend peniaga nasi lemak kini banyak beralih membeli telur gred F iaitu yang paling kecil,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI