fbpx

Bekalan air cukup untuk tanam padi – MADA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empangan Pedu. - Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yakin tiga empangan seliaannya mampu menampung keperluan pengairan sawah dalam kawasan Muda bagi musim penanaman padi, kali ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, berdasarkan jumlah takungan di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning, bekalan air untuk tujuan penanaman padi adalah mencukupi sehingga habis musim.

Katanya, tarikh mula bekalan air mengikut jadual penanaman padi bagi Musim 1/2024 bermula semalam bagi fasa satu diikuti fasa dua pada 1 Mei dan fasa tiga pada 15 Mei.

“Di Empangan Pedu, paras (takungan) masih sekitar 70 peratus yang mana ia masih boleh bertahan sehingga habis musim.

“Empangan Pedu ini akan mendapat bekalan (air) daripada Empangan Muda yang sekarang ini paras (takungan) lebih 30 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Syawal MADA, di sini hari ini.

Beliau berkata, hujan di beberapa kawasan di negeri ini sejak beberapa hari lalu juga dapat membantu proses penanaman padi musim ini.

“Hujan ini banyak membantu (proses penanaman padi) kerana 31 peratus daripada penggunaan air di sawah adalah daripada hujan, jadi saya yakin bekalan air yang ada ini masih mampu untuk kita bekalkan walaupun dalam keadaan tidak ada hujan sehingga Jun ini,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang bekalan benih padi kepada pesawah untuk musim ini, beliau berkata, tiada masalah berhubung perkara itu kerana empat kilang di Kedah menghasilkan sebanyak 1.5 juta kampit benih padi dengan setiap satu seberat 20 kilogram (kg). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI