fbpx

Lelaki OKU maut kemalangan lepas beli telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Kilometer 40, Jalan Gua Musang-Jeli berhampiran SK Meranto, Gua Musang semalam. - Foto IHSAN POLIS

GUA MUSANG – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) maut selepas motosikal yang dia tunggang bertembung dengan sebuah lagi motosikal selepas membeli telur di Kilometer 40, Jalan Gua Musang-Jeli berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Meranto di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa, Che Mohamad Zin Che Hassan, 33, merupakan OKU masalah pembelajaran meninggal dunia di Hospital Gua Musang selepas parah pada bahagian badan, tangan dan patah kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Class 1 sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Dalam Lah di sini selepas membeli telur di sebuah kedai runcit.

Katanya, selesai membeli telur, mangsa keluar dari kedai terus membelok ke kanan jalan laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal jenis Demak ditunggang seorang lelaki berusia 19 tahun yang datang arah Jalan Gua Musang-Jeli.

“Siasatan awal mendapati, Che Mohamad Zin dipercayai menunggang motosikal secara melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua lelaki mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Gua Musang. Che Mohamad Zin disahkan meninggal dunia semasa tiba di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat.

Menurutnya, seorang lagi mangsa cedera pada bahagian kepala dan patah bahagian kaki kanan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI