fbpx

Bekalan beras negara stabil, mampu tampung lebih 5 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan beras negara di pasaran adalah mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia.

KPKM dalam kenyataan berkata, pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang giat dijalankan selain melaksanakan penurunan harga beras putih import (BPI) di antara RM2 hingga RM3 turut bagi menampung keperluan pengguna.

Menurut KPKM, perkara itu dimuktamadkan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bulan lalu.

“Sehingga kini, stok fizikal beras negara adalah sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras.

“Jumlah tersebut adalah stabil serta mampu menampung keperluan untuk tempoh 5.48 bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk adalah antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini.

Selain itu, KPKM berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi.

“Antara yang dirangka adalah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi lima musim untuk dua tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah,” ujarnya.

Tambahnya, KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hail tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat selain daripada beras.

Jelasnya, ia adalah antara penekanan utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI