fbpx

1 tahun – Terima kasih pembaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EDISI pertama akhbar Kosmo! bertarikh 20 Julai 2020 selepas diterbitkan semula.

HARI ini adalah Hari Raya Aidiladha. Ia hari yang sangat penting kepada umat Islam seluruh dunia. Hari ini juga genap setahun pelancaran semula akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! di bawah Media Mulia Sdn. Bhd.

Masa berlalu dengan pantas dan setahun bergerak seperti kilat sejak penerbitan pertama akhbar ini. Pada tarikh ini tahun lalu, penulis melakar Minda Pengarang (Kata Editor) pertama, menggariskan falsafah, matlamat dan harapan akhbar ini.

Sepanjang 365 hari seterusnya merupakan perjalanan bercampur kebanggaan dan cabaran, terutama dalam memenuhi aspirasi akhbar ini.

Liku terbesar ialah mengembalikan semula keyakinan pembaca. Ia adalah satu proses yang bukan mudah. Tetapi tiada perjalanan menuju kejayaan adalah mudah. Jika semua mudah, tiada yang gagal.

Sepanjang setahun lalu, Utusan Malaysia dan Kosmo! sedikit demi sedikit berjaya membina semula keyakinan pembaca ketika negara hidup dalam norma baharu.

Laporan kaji selidik Reuters Institute Digital News Report 2021, menyenaraikan Utusan Malaysia antara jenama media boleh dipercayai dengan markah 57 peratus, perbezaan hanya 5 peratus berbanding akhbar saingan bahasa Melayu. Reuters Institute adalah pusat kajian kewartawanan yang berpusat di Universiti Oxford.

Laman digital akhbar-akhbar ini terus mencatatkan penerimaan dan pageviews meningkat hampir 10 kali ganda berbanding ketika dilancarkan 12 bulan lalu. Pembinaan kredibiliti dan kebolehpercayaan dalam kalangan pembaca tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, falsafah dan pandangan politik adalah satu proses.

Kredibiliti dan kebolehpercayaan juga dua aset terpenting kepada mana-mana syarikat media. Tanpanya, akhbar yang dicetak tidak mempunyai nilai kecuali sebagai pembungkus nasi lemak.

Akhbar ini akan terus membina kredibiliti dan keyakinan pembaca kerana mereka adalah pelanggan. Mereka melanggan dengan hasil rezeki dan titik peluh dan berhak kepada pemberitaan dan laporan saksama dengan had-had tertentu.

Sejarah membuktikan apa yang berlaku apabila media gagal memperoleh kepercayaan pembaca. Pengakhirannya adalah kegagalan. Kita semua tahu apa yang berlaku kepada akhbar ini. Di Singapura, akhbar Straits Times yang diwujudkan pada 1845 atau berusia 176 tahun akan diletakkan di bawah pengurusan amanah. Ia akan beroperasi menggunakan sumbangan dan derma.

Republik itu berada di tangga ke 160 dalam 2021 World Press Freedom Index. Malaysia pada kedudukan ke 119.

Kejayaan dan kelangsungan institusi media bergantung kepada kepercayaan masyarakat. Sejak setahun lalu, akhbar ini telah memberi ruang kepada kepelbagaian pandangan atau berita tanpa mengira ideologi politik, kebanyakan pemimpin politik kerajaan atau pembangkang telah mendapat liputan, kumpulan kecil atau besar, laporan positif atau negatif disiarkan di media cetak dan digital.

Ada masanya akhbar ini sendiri dikecam di atas laporannya. Realitinya tiada laporan akan menggembirakan semua pihak. Pandangan dan fahaman manusia berbeza tetapi kebenaran hanya satu.

Apa yang penting adalah masyarakat dan kekal menjadi saluran kepada suara masyarakat.

Selagi kita tidak melepasi halangan menghormati perbezaan, sukar bergerak ke depan dan memperoleh yang terbaik. Kepada semua pembaca, kami mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada akhbar ini untuk bangkit semula. Selamat Hari Raya Aidiladha. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI