fbpx
BERBEKALKAN pengalaman hidup yang biasa susah, Jah tidak mahu kanak-kanak mengalami kesusahan seperti yang pernah dialaminya semasa kecil.

‘Saya berasal daripada keluarga susah’- Jah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Sebagai anak sulung, saya banyak menggalas tanggungjawab meringankan beban ibu. Seawal usia 11 tahun, saya sudah melakukan kerja-kerja rumah dan bantu ibu menjual buah mangga sebelah petang selepas ibu pulang kerja.

“Bukan itu sahaja, saya juga pernah bawa barang jualan ke sekolah demi mencari wang lebih. Kesusahan yang dialami hingga ke tahap saya pernah meminjam beras daripada rakan-rakan. Dari situ, saya tekad untuk bantu orang susah kerana pernah merasai peritnya kehidupan apabila tidak mempunyai apa-apa,” kongsi Nik Faizah Nik Othman atau Jah, wanita berasal dari Tumpat, Kelantan itu.

Bergelumang dengan dunia amal sejak sedekad lalu, Jah telah menyaksikan sendiri pelbagai kesukaran hidup yang dihadapi individu di sekelilingnya. Lantaran itu, Jah mengakui tersentuh setiap kali melihat kehidupan individu yang sukar, lebih-lebih lagi mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 pada masa ini.

 

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

 

RAUT wajahnya begitu tenang, senyuman yang manis pula sentiasa terukir di bibirnya. Pemilik nama Nik Faizah Nik Othman ini memang dikenali dalam kalangan penduduk di negeri Cik Siti Wan Kembang terutamanya sekitar daerah Tumpat, Kelantan atas sifat mesranya yang begitu ringan tangan menghulur bantuan kepada golongan memerlukan.

Di sebalik kesibukannya membantu golongan kurang bernasib baik, siapa sangka nama Nik Faizah atau Jah baru-baru ini tular berikutan fenomena kempen kibar bendera putih apabila dirinya dikaitkan sebagai individu yang menggerakkan idea tersebut seperti mana yang dilaporkan banyak akhbar dan media.

Dek hantaran yang dimuat naik wanita yang lebih mesra dikenali sebagai Jah di laman sosialnya itu, tidak semena-mena carian mengenai dirinya sohor kini. Begitupun, wanita ini masih bersifat low profile seperti selalu.

Berasal dari Tumpat, wanita berumur 47 tahun itu sebenarnya merupakan seorang aktivis dan banyak membantu golongan kurang bernasib baik sejak 10 tahun lalu.

Jah bergerak aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan yang kesemuanya berkait kebajikan dan membantu masyarakat setempat bagi meneruskan kelangsungan hidup iaitu Pertubuhan Peduli Rakyat Tumpat, Wanita Peduli Kelantan, Persatuan Cik Siti Wan Kembang dan Kelab Amal Jariah Kelantan.

BERLATAR kerjaya sebagai bekas pendidik, visi Jah adalah untuk membantu masyarakat yang hidup susah terutama golongan kanak-kanak.

Begitupun sebelum bergiat aktif dalam bidang tersebut, wanita ini merupakan seorang guru. Tatkala melihat kesungguhannya membantu insan memerlukan, jelas sekali menunjukkan sisi keprihatinan wanita yang mempunyai lima cahaya mata itu.

“Hati saya tersentuh setiap kali membaca kesusahan individu.

“Saya berasal daripada keluarga susah. Jadi secara tidak langsung ia membolehkan saya menyelami perasaan mereka yang berada dalam kesusahan dan kemiskinan,” katanya memulakan bicara kepada K2 ketika dihubungi baru-baru ini.

Bercerita lanjut, menurut anak sulung daripada lapan orang adik-beradik itu, sejak kecil lagi dia sudah merasai jerih perih kehidupan kerana membesar dalam keluarga yang berpecah-belah selepas ibu dan bapanya bercerai.

Kata Jah, bapanya melakukan kerja-kerja kampung, manakala ibu pula bekerja sebagai seorang kerani. Disebabkan mereka telah berpisah, jadi kebiasaannya ibulah yang menyara dirinya dan adik-adik.

“Sebagai anak sulung, saya banyak menggalas tanggungjawab bagi meringankan beban ibu. Seawal usia 11 tahun, saya sudah melakukan kerja-kerja rumah dan membantu ibu menjual buah mangga pada sebelah petang selepas ibu pulang daripada bekerja.

“Bukan itu sahaja, saya juga pernah membawa barang jualan ke sekolah demi mencari wang lebih. Kesusahan yang dialami sehingga ke tahap saya pernah meminjam beras daripada rakan-rakan. Dari situ, saya tekad untuk bantu orang susah kerana pernah merasai peritnya kehidupan apabila tidak mempunyai apa-apa,” kongsinya.

JAH semasa membantu membelikan baju raya untuk satu keluarga dari Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan beberapa tahun lalu.

Biarpun sibuk membantu ibu, namun wanita itu tetap tidak mengabaikan pelajaran apabila berjaya melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Batu Rakit, Terengganu pada tahun 1994 dan kemudian bergelar pendidik.

Mengajar subjek bahasa Melayu, Jah telah bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah sekitar negeri Kelantan.

Menurut Jah, dia sering melihat pelajar-pelajar sekolah yang tidak pergi ke kantin apabila tiba waktu rehat.

“Sebagai seorang guru, kita boleh baca jika anak-anak itu susah. Apabila rakan-rakan lain berehat dan makan di kantin, dia pula hanya duduk berdiam diri di kelas. Saya tidak boleh lihat situasi tersebut.

“Saya akan berikan mereka sedikit wang untuk dibelanjakan bagi mengalas perut. Bagaimanapun, bukan saya seorang sahaja yang lakukan perkara ini kerana guru-guru lain turut melakukan pendekatan sama,” katanya.
Jah bagaimanapun mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjadi tenaga pengajar pada tahun ketujuh perkhidmatannya bagi membantu perniagaan yang baru diusahakan suaminya.

“Suami mengusahakan stesen minyak di Kota Bharu. Disebabkan pada waktu itu stesen tersebut kekurangan kakitangan, dia meminta saya membantunya di sana.

“Kemudian, saya mula bergerak aktif dengan NGO selepas membantu satu keluarga di Gual Ipoh, Tanah Merah.

“Pada waktu itu, saya menerima panggilan daripada wanita tersebut yang memerlukan bantuan susu tepung buat anak-anaknya yang sakit. Ketika itu, saya merupakan Pengerusi Kelab Amal Jariah Kelantan dan hanya bergerak menerusi Facebook sahaja.

“Apa yang menyedihkan ialah keluarga wanita ini tinggal di dalam kandang kambing di ladang getah. Suami dan beberapa orang anaknya sakit dan ada yang mengalami masalah mental.

“Bermula dengan keluarga inilah bercambah minat saya untuk bergerak aktif dan menyertai NGO bagi membantu lebih ramai individu memerlukan,” ujarnya.

JAH (belakang, tengah) semasa kecil bersama adik-beradik tiri.

Bergelumang dengan dunia amal sejak sedekad lalu, Jah telah menyaksikan sendiri pelbagai kesukaran hidup yang dihadapi individu di sekelilingnya. Lantaran itu, Jah mengakui tersentuh setiap kali melihat kehidupan individu yang sukar, lebih-lebih lagi mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 pada masa ini.

Kesukaran dialami individu yang rata-ratanya terjejas sumber pendapatan itu sehingga ke tahap ada yang menghidap depresi serta sanggup mengurung anak dan isteri di dalam rumah dek masalah kewangan yang dialami.

Lebih menyedihkan Jah apabila ada individu yang sanggup mengambil jalan singkat untuk membunuh diri.

“Mungkin ada yang tidak sedar golongan M40 juga ramai terjejas apabila perniagaan yang dijalankan jatuh atau diberhentikan kerja secara tiba-tiba dan status mereka kemudian bertukar kepada B40. Situasi menjadi sukar apabila mereka mula mendapatkan bantuan tetapi ada pihak yang tidak percaya dan mula mencemuh.

“Sepatutnya semua orang tidak wajar menghukum sesiapapun dalam situasi sekarang. Sebaliknya, cubalah membantu sebaik mungkin,” katanya.

Bagi Jah, misi dan visinya adalah untuk membantu masyarakat yang hidup susah terutamanya kanak-kanak.

“Saya begitu tersentuh apabila melihat kanak-kanak berada dalam keadaan kebuluran kerana saya pernah rasai bagaimana rasanya lapar itu. Saya faham bila kita tiada duit tetapi teringin untuk menikmati makanan enak seperti ayam sedangkan pada waktu itu kita hanya ada nasi. Saya tidak mahu mereka rasa apa yang saya lalui ketika kecil,” luahnya yang juga merupakan seorang ahli politik.

Menyentuh mengenai kempen bendera putih yang menjadi buah mulut umum apabila tular tanda pagar #benderaputih dan #rakyatjagarakyat pada masa ini, Jah bersyukur kerana ia digunakan untuk mempermudah pemberian bantuan kepada individu-individu kurang bernasib baik yang terkesan dek pandemik.

“Saya nasihatkan kepada semua yang susah atau tiada makanan, naikkan bendera putih di rumah anda. Biar orang di sekeliling memberi sedikit sebanyak yang termampu.

“Jangan ambil tindakan merugikan diri sendiri dan keluarga. Elakkan stres, berkongsilah masalah dengan orang ramai. Tidak perlu merayu, tidak perlu malu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN