ALOR GAJAH – Sebuah lagi balai polis di daerah ini, Balai Polis Durian Tunggal ditutup serta-merta hari ini selepas beberapa pegawai di situ turut disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, balai berkenaan ditutup bermula pukul 2 petang tadi sehingga 22 Julai depan bagi membolehkan kerja-kerja desinfeksi dilakukan.
“Selepas Balai Polis Kuala Sungai Baru, kini Balai Polis Durian Tunggal terpaksa ditutup selepas beberapa pegawai dijangkiti Covid-19.
“Balai polis ini akan ditutup sehingga 22 Julai depan. Segala urusan termasuk permohonan pengeluaran permit rentas daerah dan negeri boleh dilakukan Balai Polis Rumbia atau Balai Polis Gadek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, orang awam juga boleh melakukan urusan tersebut di Balai Polis Machap Baru atau mana-mana balai berhampiran.
Beliau bagaimanapun memberitahu, penugasan rondaan cegah jenayah oleh pasukan kereta peronda dan Unit Rondaan Bermotorsikal berjalan seperti biasa.
Masyarakat khususnya di bawah pentadbiran Balai Polis Durian Tunggal jika memerlukan bantuan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Alor Gajah di talian 06-5564153/06-5566573 (24 jam).
Terdahulu, Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan Balai Polis Kuala Sungai Baru ditutup serta-merta sehingga 26 Julai selepas beberapa pegawai dikesan positif Covid-19. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929