DI sebalik ketenangan dan ketegasan seorang pemimpin, tersembunyi ‘akar’ yang membentuk dirinya sejak kecil.
Berasal daripada sebuah keluarga besar dengan lapan adik-beradik, nilai disiplin, kepimpinan dan belas kasih sentiasa bersemi sehingga berjaya membimbing perjalanan hidup Prof. Dr. Nazimah Idris.
Nilai-nilai tersebut juga berjaya membantu Dr. Nazimah bergelar seorang Profesor Obstetrik dan Ginekologi di Universiti IMU serta Pengarah Perubatan IMU Healthcare.
Menurut beliau, dunia akademik merupakan ‘tapak’ dia bermula sehingga berjaya memegang peranan penting dalam membentuk dasar kesihatan yang memberi kesan kepada kaum Hawa di Malaysia.
Cerita Dr. Nazimah, beliau membesar dalam sebuah rumah yang sentiasa ‘hidup’ serta dipenuhi dengan buku, tanggungjawab dan kasih sayang.
Katanya, sebagai anak sulung dan dibesarkan oleh ibu bapa yang berkhidmat sebagai guru, nilai kepimpinan sentiasa diberi keutamaan.
“Nilai kepimpinan sesuatu yang dipelajari sejak awal sebagai seorang kakak yang mengasuh adik-adik, berkongsi ruang dan memahami bahawa disiplin serta kebaikan perlu berjalan seiring.
“Ketika musim cuti sekolah pula, seluruh keluarga berkumpul di rumah dan proses belajar tetap berjalan.
“Sentiasa ada cerita untuk dibaca, permainan untuk dimainkan dan pelajaran yang perlu dipelajari.
“Sama ada diungkapkan secara jelas atau yang difahami tanpa kata, setiap didikan itu sangat penting,” katanya.
Perjalanan hidup ketika kecil juga telah berjaya membentuk diri Dr. Nazimah sebagai seorang profesional bidang kesihatan wanita, khususnya kehamilan berisiko tinggi.
Bagi memperkukuhkan kepakarannya dalam bidang tersebut, beliau telah mendapat latihan kepakaran lanjutan dalam bidang perubatan janin ibu (maternal-fetal medicine) di Australia.
Bagaimanapun, fokus beliau sentiasa berpaksikan kepada realiti kehidupan, di mana hasil pengajian dan latihannya dapat dirasai oleh para pesakit.
Sementara itu, Dr. Nazimah memaklumkan, Malaysia telah mencapai kemajuan yang amat membanggakan dalam kesihatan wanita.
“Sebanyak 98 peratus wanita menerima penjagaan antenatal yang mencukupi dan melahirkan anak dengan selamat di bawah pengawasan profesional kesihatan. Manakala 95 peratus wanita telah mendapat penjagaan kesihatan yang baik selepas bersalin.
“Dengan kadar kematian ibu sebanyak 25 orang bagi setiap 100,000 kelahiran hidup, Malaysia berada di hadapan berbanding negara-negara lain di peringkat global,” ujarnya.
Namun, bagi wanita berusia 59 tahun itu, kejayaan tersebut bukanlah satu garis penamat.
Ujar beliau, langkah seterusnya sangat diperlukan untuk memastikan golongan wanita memulakan fasa kehamilan dengan kesihatan yang baik.
Usaha juga perlu dilakukan bagi memperkukuhkan literasi kesihatan wanita, serta membangunkan keupayaan dan kecekapan tenaga kerja kesihatan di Malaysia.
“Kita wajar berbangga dengan kejayaan ketika ini. Namun pada masa sama, kita perlu sentiasa berusaha untuk memberikan yang lebih baik,” katanya.
Mengulas lanjut, wanita berasal dari Bachok, Kelantan itu berkata, sebagai pakar kesihatan wanita, beliau perlu menjaga kesihatan kaum Hawa dari peringkat awal sehingga ke akhir hayat mereka.
“Bermula dari mereka kanak-kanak dan remaja dengan pelbagai masalah pertumbuhan serta hormon sehingga masuk ke peringkat reproduktif, melalui fasa kehamilan dan melahirkan anak.
“Saya juga perlu menjaga perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kelahiran sehingga mereka mencapai peringkat menopaus, cabaran kesihatan berkaitan menopaus dan fasa selepas menopaus.
“Kami juga perlu memastikan golongan wanita sentiasa menjaga kesihatan mereka dengan menekankan kepentingan mencegah penyakit termasuk kanser.
“Golongan wanita boleh datang berjumpa kami di setiap peringkat kehidupan mereka untuk berbincang dan mendapat rawatan. Kami akan memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka,” katanya.
Sebagai pakar kesihatan wanita juga, beliau perlu merangka polisi dan garis panduan yang mesra dengan golongan tersebut serta menjadi advocate (pembela) untuk mencapai tahap kesihatan lebih baik.
Sementara itu, bercerita tentang perwatakannya, Dr. Nazimah memberitahu, beliau merupakan seorang yang begitu sederhana, tegas dalam membuat keputusan, cekal, berkeupayaan dan tidak lokek masa serta tenaga.
Bagi beliau, menabur bakti bukan sekadar pelengkap dalam kehidupan, sebaliknya ia sudah terjalin rapat dengan dirinya.
Malah, sokongan beliau dalam projek membabitkan kanak-kanak rentan dan peranan kepimpinan di peringkat nasional serta antarabangsa merupakan mencerminkan komitmen kerjayanya yang sangat mengagumkan.
Sepanjang berkhidmat sebagai profesional kesihatan, pengiktirafan paling bermakna buat Dr. Nazimah adalah ketika menerima Felo Kehormat daripada Royal College of Obstetricians & Gynaecologists (United Kingdom).
Pengiktirafan itu merupakan salah satu penghormatan atas sumbangan beliau kepada golongan wanita rentan di Malaysia dan luar negara.

Memandangkan hanya segelintir saja rakyat Malaysia yang mendapat pengiktirafan tersebut, beliau berasa sangat bangga menjadi salah seorang daripadanya.
Sementara itu, Dr. Nazimah berkata, nilai kepimpinan dalam dirinya telah terbentuk sejak kecil.
“Melalui bapa, saya mempelajari nilai ketekunan dan disiplin. Daripada ibu pula, saya meneladani kebaikan hati dan tetap berbuat baik kepada semua.
“Gabungan kedua-dua didikan ini membentuk falsafah kepimpinan saya iaitu tegas, namun berempati sama ada di klinik, dewan kuliah atau bilik lembaga,” ujarnya.
Menariknya, Dr. Nazimah juga seorang pendukung tegar dalam penjagaan kesihatan berasaskan komuniti.
Beliau pernah bekerja bersama pelarian, masyarakat terpinggir dan komuniti terabai.
Menurut beliau, pengalaman-pengalaman itu menjadi peringatan yang menginsafkan tentang apa yang mampu dan seharusnya dicapai dalam bidang penjagaan kesihatan.
Dalam pada itu, sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut baru-baru ini, beliau memberi peringatan jelas dan tegas kepada golongan wanita.
“Percayalah pada kemampuan diri, bersedialah sebaiknya dan bina rangkaian sokongan yang kukuh.
“Kepimpinan bukan perkara yang berlaku secara kebetulan, ia perlu dirancang dan dilatih bersama komuniti,” katanya.
Tambah beliau, apabila menjadi orang penting, gunakanlah kedudukan itu untuk membantu wanita lain dan menjadikan masyarakat lebih baik.
Memandangkan negara masih dalam mood Hari Raya Aidilfitri, Dr. Nazimah turut berkongsi momen paling seronok menyambut lebaran adalah ketika menunggu pengumuman tarikh hari raya.
“Saya menunggu pengumuman tarikh hari raya di depan televisyen bukan kerana mahu bergaya dengan baju baharu.
“Jika keesokannya diumumkan raya, saya dan arwah emak akan bertungkus-lumus menyiapkan pelbagai juadah sehingga awal pagi.
“Rebus ketupat, masak rendang, buat nasi dagang dan lauk-pauknya, itulah kenangan manis saya bersama arwah emak yang tak akan berulang lagi,” jelasnya.
Selain itu, berkumpul bersama keluarga tercinta pada hari raya merupakan sesuatu yang sangat istimewa kepadanya.
Sebagai ibu kepada lima cahaya mata yang masing-masing telah bekerja dan menuntut di universiti, momen berkumpul bersama pada pagi Syawal sangat bermakna.
“Apabila semua anak-anak ada bersama untuk beraya, ia sudah cukup istimewa kepada saya.
“Anak-anak akan menunjukkan bakat mereka memasak juadah raya. Kemudian, kami sekeluarga akan menikmatinya bersama-sama.
“Selain ketupat dan lemang, kami akan menikmati juadah seperti lasagna daging, pai ayam dan stik di hari raya,” jelasnya.














