CAMERON HIGHLANDS – Sayur beracun dari daerah ini yang dihalang memasuki Singapura sama ada menggunakan racun perosak secara berlebihan atau yang tidak dibenarkan, dikhuatiri dijual di pasaran tempatan dan berisiko menjejaskan kesihatan pengguna.
Dakwaan itu adalah berasas kerana selepas Singapura mengeluarkan 39 notifikasi penolakan melibatkan 14 pengeksport sayur dari daerah ini tahun lalu, ke mana lagi sayur-sayuran itu dilambakkan?
Timbul juga persoalan, bagaimana dengan sayur-sayuran yang dijual dalam negara ini? Adakah ia dihasilkan oleh ladang yang sama?
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, kebimbangan itu mendorong kerajaan negeri memperketatkan pemantauan terhadap penggunaan racun perosak di kawasan tanah tinggi itu.
Katanya, sebelum ini hanya satu notifikasi direkodkan pada 2022, diikuti dua (2023), sebelum meningkat kepada 18 notifikasi (2024) dan melonjak kepada 39 (2025).
“Siasatan mendapati semua 14 pengeksport terbabit merupakan pusat pengumpulan beralamat di Cameron Highlands yang kebanyakannya memperoleh sayur daripada pembekal sekitar kawasan sama.
“Bagaimanapun, lokasi ladang sebenar sukar dikenal pasti kerana maklumat tersebut tidak dikemukakan oleh pihak pengeksport. Pelanggaran residu racun paling tinggi melibatkan bahan Formatenate dengan 30 kes, diikuti Tolfenpyrad, Chlorfenapyr, Carbofuran, Cyromazine, Oxamyl, Abamectin, Omethoate dan Dimethoate,” katanya.

Menurut Razali, pemantauan terus dilakukan supaya pekebun mematuhi peraturan ditetapkan. Jika gagal, mereka yang akan tanggung rugi.
Tambahnya, walaupun Kementerian Kesihatan tidak memiliki data tepat jumlah keseluruhan pengeksport di Cameron Highlands, anggaran menunjukkan terdapat 70 pusat pengumpulan yang berkemungkinan terlibat dalam aktiviti pengeksportan sayur-sayuran.
“Penolakan eksport hanya diterima daripada Singapore Food Agency yang mengeluarkan notifikasi rasmi bagi produk yang tidak mematuhi perundangan keselamatan makanan negara itu,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Tanaman Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Firdaus Ismail berkata, racun perosak berbahaya bukan sahaja kekal dalam sayur-sayuran, malah memakan masa lama untuk hilang dalam tanah.
Katanya, pencampuran racun perosak memberikan kesan toksik serius kepada sistem saraf, pernafasan dan organ dalaman manusia.
“Antara racun paling persisten ialah chlorfenapyr yang merupakan antara yang paling lama bertahan yang mana ia mereput dengan sangat perlahan di dalam tanah, dengan purata setengah hayat (half-life) sekitar satu tahun.
“Selain itu formetanate yang mana jangka masanya sangat bergantung kepada keasidan tanah iaitu dalam tanah beralkali ia mereput dalam masa sembilan hingga 11 hari tetapi dalam tanah berasid ia boleh kekal antara 542 hingga 1,567 hari atau empat tahun,” katanya.

Menurut Mohd. Firdaus, tempoh masa baki racun perosak kekal di dalam tanah bergantung kepada jenis bahan kimia yang masih boleh dikesan berada dalam tanah sehingga 105 hari.
Tambahnya, pekebun yang kurang kesedaran dan rasa tanggungjawab akan menggunakan racun jenis itu demi kepentingan peribadi.
“Racun sangat efektif kawal perosak dan penyakit pada sayur tetapi berbahaya.
“Mereka mungkin akan guna banyak-banyak supaya tidak perlu bersusah payah mencari alternatif untuk elak sayur mudah rosak,” katanya.
Ujar Mohd. Firdaus, penggunaan racun tanpa kawalan juga akan memberi kesan besar kepada reputasi pertanian negara apabila negara lain menolak hasil keluaran pertanian negara kita kerana tidak mematuhi standard.
“Pengguna yang menjadi mangsa kerana hasil kebun akan dijual terus kepada mereka tanpa ada pemeriksaan,” katanya.














