fbpx

Belalang kerutuk juadah istimewa Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLINA menunjukkan bungkusan belalang goreng kerutuk di rumahnya Kampung Bukit, Telipot, Pasir Puteh, semalam.

PASIR PUTEH – Makanan eksotik, belalang liar yang dimasak kerutuk atau goreng kunyit menjadi pilihan orang ramai untuk dijadikan juadah sempena Hari Raya Aidiladha.

Bagi penggemarnya, belalang kunyit itu enak dimakan bersama ketupat palas atau ketupat nasi.

Pengusaha belalang kerutuk di Kampung Bukit, Telipot di sini, Roslina Mohd. Othman, 41, berkata, dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan 24 kilogram (kg) belalang kerutuk dan goreng kunyit tahun ini.

Katanya, setiap hari dia hanya berupaya memasak sebanyak tiga kilogram belalang yang memakan masa selama tiga jam untuk siap tidak termasuk proses membungkus.

“Proses membersih belalang, membuang sayap, kaki berduri, kepala dan bahagian najis juga memakan masa yang lama dan kerja itu dibuat bersama ahli keluarga.

“Dengan jumlah itu saya boleh mendapat 46 bekas seberat 100 gram yang dipasarkan ke seluruh negara dengan harga RM12 setiap satu, manakala tempahan dalam daerah dihantar sendiri dari rumah ke rumah,” katanya.

BELALANG masak kerutuk menjadi juadah istimewa pada Hari Raya Aidiladha di Kelantan.

Dia yang telah tiga tahun me­ngusahakan perniagaan itu memberitahu, masakan tradisional warisan keluarga itu mendapat permintaan paling tinggi dari Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Perlis selain Kelantan.

Tambahnya, harga belalang lebih mahal berbanding daging lembu iaitu RM70 sekilogram manakala harga borong pula RM50 sekilogram.

“Saya mendapat bekalan belalang hidup daripada penduduk Felcra Teratak Batu, Kampung Changgai, Kampung Panggung dan Kampung Bukit.

“Permintaan kali ini agak tinggi kerana kerutuk belalang bagaikan serunding yang enak dimakan dengan ketupat yang dijadikan sebagai juadah istimewa hari raya,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI