fbpx

SelVAX diiktiraf, dirangkumkan dalam PICK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin mengumumkan Program Vaksin Selangor (SelVax) secara maya baru-baru ini.

SHAH ALAM – Program Vaksin Selangor (SelVAX) diiktiraf dalam meningkatkan vaksinasi khususnya di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengiktarafan itu diterima hasil mesyuarat Pelan Vaksinasi Greater Klang Valley yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pagi tadi yang turut dihadiri beliau.

“Mesyuarat tersebut yang dihadiri wakil daripada beberapa kementerian bersetuju supaya usaha kerajaan negeri Selangor melalui SelVAX bagi meningkatkan kadar vaksinasi turut dirangkumkan di dalam kerangka PICK.

“Ini adalah pengiktirafan terhadap peranan Selangor melalui SelVAX dalam program PICK dan kerjasama ini melibatkan aspek bekalan vaksin serta pengiraan kapasiti dan data,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, mesyuarat tersebut juga menyasarkan supaya seluruh populasi di Selangor dan Kuala Lumpur yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos 2021.

Tambah Amirudin, ini meliputi 1.3 juta warga Selangor dan Kuala Lumpur belum menerima janji temu vaksin yang dijangka akan bermula pada 26 Julai ini.

“Program SelVAX Komuniti dan Industri juga akan dioptimumkan dengan bekalan vaksin yang mencukupi supaya dapat beroperasi dengan kapasiti penuh dan mencapai kadar anggaran 40,000 dos sehari bagi dos pertama dan kedua.

“Ini serentak melalui lima Pusat Pemberian Vaksin ( PPV ) Mega serta klinik panel Selcare di seluruh negeri, tertakluk kepada stok bekalan vaksin yang diterima,” jelasnya.

Beliau berkata, usaha peningkatan kapasiti PPV akan melonjakkan jumlah pemberian dos kepada 272,000 dos setiap hari.

Semalam, Selangor telah berjaya memberikan 113,458 dos vaksin, angka tertinggi di seluruh negara.

“Seperti yang telah saya maklumkan sebelum ini, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim akan menyelaraskan program SelVAX Industri bagi pekerja.

“Manakala Ahli Parlimen Dr. Ong Kian Ming akan membantu usaha koordinasi dan penyeragaman antara SelVAX dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi pihak kerajaan negeri supaya tidak berlaku sebarang percanggahan data serta maklumat,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI