fbpx

Hati-hati guna laluan Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelihatan sekumpulan 'call man' sedang menunggu dan bersedia di lokasi panas kemalangan di Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat.

KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya khususnya di Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat dinasihatkan berhati-hati ketika memandu selepas polis menerima sebanyak 28 kes kemalangan sejak awal tahun hingga hari ini.

Terdahulu, sebuah video berdurasi dua minit enam saat tular di media sosial yang memaparkan beberapa insiden kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat bersebelahan depoh simpanan Kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari arah Cheras menghala ke pusat bandar.

Menerusi video berkenaan, seorang individu memberitahu kawasan terbabit sering kali berlaku kemalangan dan sebanyak enam insiden kemalangan berlaku untuk hari ini sahaja.

Video tersebut turut memaparkan sekumpulan ‘call man’ sedang berkumpul di hadapan dua buah stesen minyak dan bersedia di ‘lubuk’ kemalangan itu untuk menunggu mangsa kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung rakaman video yang tular di media sosial.

“Hasil semakan mendapati, sejak awal tahun ini sehingga hari ini terdapat sebanyak 28 kes kemalangan yang telah berlaku di lokasi tersebut.

“Beberapa faktor yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada kemalangan tersebut antaranya permukaan jalan yang licin selepas hujan, bentuk jalan yang berselekoh dan memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zulkefly memberitahu, pihak JSPT Kuala Lumpur akan membuat siasatan dan pemantauan yang kerap di lokasi tersebut bagi mengelakkan sebarang unsur sabotaj yang boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya.

“Pihak JSPT KL menasihatkan pengguna jalan raya yang melalui lokasi tersebut supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kejadian kemalangan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana- mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – K! ONLINE.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI