KELIBAT kumpulan sukarelawan berbaju hijau dapat dilihat jika anda mengunjungi Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor. Keramahan serta bantuan yang diberikan membuat hati bakal penerima vaksin yang gusar menjadi lebih tenang.
Di kala negeri Selangor mencatatkan kes Covid-19 tertinggi di Malaysia, para sukarelawan ini komited memberikan khidmat di IDCC yang merupakan antara pusat pemberian vaksin (PPV) terbesar di negeri itu.
Sukarelawan bukan kakitangan perubatan ini bukan sahaja membantu bermula dari ruang mengimbas aplikasi MySejahtera, malah mereka membantu penerima vaksin sehingga mendapat kad temu janji bagi suntikan dos kedua. Pendek kata, anda tidak akan berasa keseorangan kerana kumpulan sukarelawan ini sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.
Peluang bertemu dengan golongan sukarelawan di IDCC yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam itu mendapati, kebanyakan sukarelawan datang daripada pelbagai latar belakang pekerjaan.
Ada yang bertugas sebagai kru kabin syarikat penerbangan tambang murah, freelancer selain mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19 pada masa ini.
IDCC menawarkan suntikan vaksin kepada jumlah penerima yang besar di negeri ini sehingga ada hari-hari tertentu mencapai 5,000 suntikan berbanding kebanyakan lokasi lain di negeri ini yang memperuntukkan kira-kira 1,000 suntikan. Bagaimanapun, angka penerima suntikan di IDCC itu akan dipertingkat dari semasa ke semasa.
Seorang pramugari, Rafyzatulniza Wakiman, 39, menganggap pengalaman menjadi sukarelawan di IDCC begitu berharga.
Rafyzatulniza yang lebih mesra dipanggil Rara berkata, dia sering tertanya-tanya bagaimana frontliner (petugas barisan hadapan) bekerja ketika pandemik Covid-19 ini. Walaupun dirinya bukan seorang pakar dalam bidang perubatan, namun pengetahuan berkaitan teknologi dan pengalaman kerja sebagai pramugari membuatkan dia gembira apabila dapat sama-sama membantu masyarakat.
Mengimbas bagaimana anak bongsu daripada 10 beradik itu terlibat dalam kerja amal tersebut, kongsi Rara kepada Panorama, dia asalnya mengambil cuti tanpa gaji sehingga bulan Julai tahun lalu bagi menjaga bapanya yang sakit.

Kata Rara, jadual tugas yang padat serta masa yang terhad membuatkan dia bimbang seandainya tidak dapat berada di sisi bapanya jika apa-apa berlaku kepada orang tuanya itu.
“Ditakdirkan Tuhan, bukan sahaja Malaysia, malah satu dunia dilanda pandemik Covid-19 membuatkan syarikat penerbangan turut mendapat tempiasnya biarpun saya seharusnya kembali bekerja pada Julai tahun lalu.
“Kemudian, pada April lalu, seorang rakan sama dalam dunia penerbangan memberitahu mengenai petugas sukarelawan di IDCC ini, saya fikir inilah peluang untuk terlibat dan merasai pengalaman menjadi sukarelawan sekali gus frontliner,” katanya yang mula bertugas di IDCC sejak ia dibuka pada 24 Mei lalu.

Menurut Rara, dia bersyukur apabila hasratnya mendapat sokongan daripada seluruh ahli keluarga dan sejak April lalu sehingga hari ini, dia berulang-alik dari USJ 1, Subang Jaya ke IDCC untuk membantu para sukarelawan bagi memastikan urusan pemberian suntikan vaksin berjalan lancar.
Tambah Rara, tugas di IDCC itu tidak jauh berbeza dengan tugas di awan biru kerana kedua-duanya berurusan dengan kerenah manusia. Jadi, sebagai pramugari yang terlatih dengan cara-cara berdepan pelbagai situasi berbeza, ia turut diaplikasikan sepanjang bertugas di IDCC.
“Kerenah manusia ini pelbagai. Ada yang bagus, senang untuk kita uruskan tetapi ada juga yang menguji kesabaran.
“Apapun, saya gembira apabila pasukan kerja di sini seronok bertugas dan bila berdepan situasi menyedihkan, kami ada satu pasukan yang saling memberikan semangat,” katanya yang bertugas sebagai pengumpul data penerima vaksin.

Bagi seorang freelancer bidang pengurusan acara, Ahmad Naqiuddin Ahmad Naser, 27, pula, kerenah pengiring penerima vaksin juga sering menguji kesabaran sukarelawan, bukan sahaja di IDCC, malah di semua PPV seluruh negara.
Ahmad Naqiuddin yang gigih berulang-alik dari kediamannya di Rawang untuk berkhidmat di IDD memberitahu, dia sebelum ini banyak terlibat dengan acara berskala besar, namun disebabkan oleh pandemik Covid-19, sudah lapan bulan dia tidak keluar bekerja membuatkan dia rasa terpanggil untuk bersama-sama rakan sukarelawan yang lain.
Dia mula berkhidmat pada 26 Jun lalu dan ditugaskan di stesen lima iaitu melakukan kerja-kerja pemantauan selepas penerima vaksin selesai mendapatkan dos masing-masing. Kini, dia diletakkan di bahagian hadapan bagi memberikan taklimat kepada semua penerima vaksin tentang prosedur yang akan mereka lalui sepanjang berada di IDCC.
“Saya percaya pada masa ini pihak kerajaan sedang dalam usaha meningkatkan suntikan vaksin kepada penduduk di negara ini membuatkan lebih tenaga kerja diperlukan bagi membantu melicinkan operasi di PPV.
“Anda bayangkan, di sini sahaja terdapat seramai 3,000 hingga 5,000 penerima vaksin setiap hari dan jika kita tidak membantu, bagaimana untuk melancarkan segala urusan? Sekiranya berlaku kesesakan di PPV, ia pasti memberi kesan buruk dan lebih dibimbangi jika hal itu membuatkan orang ramai tidak mahu datang mendapatkan suntikan vaksin,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman, Ahmad Naqiuddin menambah, sepanjang berada di IDCC, golongan warga emas mudah diuruskan, namun mereka berdepan dengan sikap kurang menyenangkan sesetengah ahli keluarga yang mengiringi warga emas.
“Saya simpati melihat wajah ibu bapa mereka apabila anak yang mengiringi datang dan mula marah-marah bila diminta menunggu 15 minit selepas mendapatkan suntikan untuk tujuan pemantauan.
“Ada juga yang mendesak untuk mendapatkan suntikan bersama orang tua yang dibawa tetapi kami mempunyai prosedur dan sudah tentu semua ini perlu ditangani dengan cara baik,” katanya pula.

Bagi sukarelawan, Che Nur Natasha Che Zulkifli, 22, yang menjaga stesen ubat pula menyifatkan pengalaman bertugas membawa vaksin keluar dari Hospital Shah Alam ke IDCC setiap hari akan dikenang sepanjang hayat.
Bekas graduan kejururawatan Murni International College, Nilai itu berkata, walaupun dia diiringi oleh anggota polis bertugas sepanjang urusan membawa vaksin berkenaan, namun ia satu tugas yang membanggakan kerana vaksin itulah yang dinantikan oleh 3,000 penerima setiap hari.
“Walaupun kuantiti yang dibawa tidak banyak tetapi kami perlu mengendalikannya secara berhati-hati bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik untuk digunakan sepanjang hari.
“Saya tidak ada pengalaman lucu atau sedih, cuma ada antara pengiring yang curi-curi masuk ke ruang suntikan sahaja tetapi kami sudah bersedia berdepan situasi seperti itu dan akan meminta mereka bersabar untuk menunggu giliran,” katanya.
Che Nur Natasha berharap agar usaha memperkasa pemberian vaksin ini dapat membendung pandemik Covid-19 di negara ini dan Selangor khususnya.
Sejak 27 Jun, Selangor mencatatkan kes harian Covid-19 pada bacaan melebihi 2,000 kes hampir setiap hari dan mewakili sebahagian besar kes dalam negara.
Bermula 3 hingga 16 Julai ini, lapan daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 30 Jun lalu mendedahkan bahawa sejumlah besar kes di Selangor sepanjang Jun adalah berpunca daripada kluster tempat kerja.
“Mengikut angka dan data terkini sepanjang Jun, 91 peratus kluster di Selangor berpunca daripada aktiviti pekerjaan, iaitu 80 peratus kluster perkilangan dan 11 peratus kluster tapak bina bersamaan dengan 125 kluster daripada dua sektor ini,” katanya dalam pengumuman khas Program Vaksin Selangor (Selvax) secara maya.
Pengarah yang juga Pemilik Agensi Pekerjaan Q Talent Global Resources Sdn. Bhd., Zarina Ismail yang turut bertanggungjawab merekrut atau mengambil sukarelawan berkhidmat di PPV Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam, Selangor berkata, ciri-ciri lain yang memberi kelebihan kepada para sukarelawan ialah pengetahuan asas pertolongan cemas yang mampu memberikan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.
Zarina yang mempunyai 23 tahun pengalaman dalam pengambilan dan pengurusan kakitangan menambah, kebanyakan individu yang datang kepadanya untuk menjadi sukarelawan terdiri daripada pencari kerja terutama mereka yang diberhentikan pekerjaan ketika pandemik Covid-19 melanda negara bermula tahun lalu.
“Kami merupakan agensi pekerjaan yang berdaftar bagi merekrut dan menempatkan sukarelawan. Selain menyediakan khidmat pembantu rumah pekerja warga asing, saya berasa terpanggil bagi membantu menyediakan pekerja untuk berkhidmat di PPV yang memerlukan.
“Setakat ini, kami bukan sahaja menyediakan sukarelawan bukan perubatan dalam golongan profesional dan mahir, malah turut membantu mencari sukarelawan bidang perubatan terdiri daripada staff nurse dan lain-lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi PPV di IDCC, Zarina yang bertindak sebagai pengurus kakitangan memberitahu, seramai 200 sukarelawan disediakan dengan 80 orang daripadanya merupakan kru syarikat penerbangan. Para sukarelawan ini bertugas dalam dua syif iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang dan 2.30 petang hingga 9 malam setiap hari.














