fbpx

Raja Pop ‘sporting’, belanja satu lagu lepas cucuk vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Usai cucuk vaksin, Jamal sempat menghiburkan petugas KKM dan orang yang berada di PPV MBSA Seksyen 19, Shah Alam,, semalam.

PETALING JAYA – Selepas menerima suntikan vaksin jenis Pfizer, Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah sempat ‘belanja’ sebuah lagu popularnya buat orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Selangor, semalam.

Ujar pemilik nama lengkap Jamal Ubaidillah Haji Mohd. Ali itu, selain mendapatkan suntikan dos pertama, beliau turut meluangkan masa bersama-sama dengan petugas barisan hadapan (frontliners) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di PPV berkenaan.

“Alhamdullilah, saya bersyukur kerana sudah menerima suntikan pertama vaksin Pfizer. Sebenarnya, memang sudah rancang dengan pihak KKM nak bagi semangat dan sumbang satu lagu.

“Jadi, saya menyampaikan sebuah lagu berjudul Kekasih Awal dan Akhir sebagai tanda penghargaan dan mahu menghiburkan mereka (frontliners) yang semestinya ‘burnout’ (lesu upaya) dengan kerja mereka. Perkara sebegini satu perkara biasa saya. Anggaplah ini penghargaan juga daripada saya untuk semua orang, baik kepada petugas KKM dan orang ramai.

“Saya turut mengambil masa beberapa jam untuk meluangkan masa dan memberi kata-kata semangat dan tahniah kepada mereka yang berusaha bekerja siang dan malam demi melandaikan kes jangkitan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Cakna dengan peningkatan kes positif Covid-19 yang masih tinggi, suami kepada Datin Zai Izzati Khiruddin itu menitipkan pesanan kepada orang ramai khasnya buat warga emas untuk tidak berasa was-was mendapatkan suntikan vaksin.

Jamal turut mengutarakan pendapat kepada pihak KKM supaya ‘mendekati’ warga emas yang berada di kawasan pedalaman bagi memastikan urusan pemberian vaksin dipercepatkan, sekali gus membentuk imuniti berkelompok.

“Fokus kepada orang kampung yang tidak mempunyai telefon pintar. Mereka sukar untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

“Usah takut untuk dapatkan suntikan vaksin ini dan dapatkan info daripada anak-anak dan saudara-mara bagi memudahkan urusan mendapatkan vaksin disegerakan.

“Golongan (warga emas) sangat berisiko tinggi dan risau jika mereka terlambat untuk dapatkan vaksin. Jadi, saya berharap pihak KKM mencari jalan terbaik agar proses pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman dipercepatkan,” kata Jamal. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI