fbpx

Influencer dilarang sunting gambar secara rahsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebarang suntingan gambar pada hantaran berbayar perlu dimaklumkan kepada pengguna media sosial yang lain di Norway. – Getty Images

OSLO, NORWAY – Kerajaan Norway dijangka meluluskan rang undang-undang melarang pesohor media sosial atau influencer daripada memuat naik gambar yang disunting tanpa memaklumkan kepada pengguna lain, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Ini bermakna dalam mana-mana kandungan berbayar yang dimuat naik, sebarang perubahan pada gambar wajah, bentuk badan atau saiz individu yang dibuat menggunakan filter atau secara digital perlu dimaklumkan kepada pengguna lain.

Menurut kerajaan Norway, tindakan itu adalah untuk mengurangkan tekanan dalam kalangan masyarakat yang berpunca daripada obsesi kepada  ‘kesempurnaan’.

“Antara lain yang akan dilaksanakan adalah pengenalan duti (cukai) bagi menandakan sesuatu  gambar dalam iklan atau kandungan berbayar itu telah diubah atau dimanipulasi.

“Ini bermakna pengguna media sosial yang lain akan mengetahui sekiranya bentuk badan, saiz dan kulit seseorang dalam iklan tersebut telah disunting dan berbeza daripada realiti sebenar,” kata satu kenyataan pada laman web kerajaan negara itu.

Selain itu, satu label khas yang direka oleh Kementerian Kanak-Kanak dan Hubungan Keluarga Norway turut perlu disertakan dalam mana-mana hantaran yang telah disunting.

Dengan itu,  pengikut pesohor tersebut akan mengetahui sekiranya bibir atau otot telah dibesarkan,  atau pinggang telah dikecilkan menerusi suntingan.

Undang-undang tersebut dilaporkan akan diluluskan sebagai pindaan kepada Akta Pemasaran Norway serta akan melibatkan kandungan berbayar di media sosial, pesohor media sosial, pelakon, ahli muzik dan lain-lain.

Individu yang didapati melanggar undang-undang itu akan didenda atau berdepan dengan hukuman penjara. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI