fbpx

Lagi karyawan boikot FFM31

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFDLIN SHAUKI dan AlJafree tampil mempersoalkan kewajaran penganjuran FFM31 pada Oktober nanti.

PETALING JAYA – Isu penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini terus menjadi polemik dalam kalangan penggiat industri kreatif.

Rata-rata tidak melihat kewajaran meneruskan penganjuran majlis penghargaan yang sudah dua tahun tertunda tersebut berikutan impak pandemik Covid-19 terhadap sebahagian besar warga seni.

Serangan boikot bermula sebaik Finas memuat naik borang penyertaan FFM31 menerusi Facebook rasmi pada 5 Julai lalu dengan dibalas tanda pagar #kempenboikotffm #kempenboikotffm31 oleh beberapa pemilik akaun lain.

Sebelum itu, pada awal Julai seorang individu mencabar pengkarya supaya tidak menghantar sebarang pencalonan untuk FFM31 sebagai tanda protes. Perdebatan bertambah hangat apabila beberapa karyawan filem pula bangkit meluahkan pendapat masing-masing.

Antaranya pelakon, penerbit dan pengarah, Afdlin Shauki yang berpendapat peruntukan mengelolakan festival tersebut sepatutnya disalurkan kepada penggiat seni yang terjejas teruk akibat hilang pendapatan.

“Gunakan wang festival itu untuk membantu anak-anak industri seni yang kini sedang dalam kesusahan. Tolonglah tunjukkan kita juga prihatin. Kalau setuju viral (tularkan)” katanya.

Sementara itu, bagi aktor kelahiran Singapura, Datuk Adi Putra, dia secara tegas bersetuju dengan gerakan kempen untuk memboikot penganjuran festival terbabit.

“Saya setuju (boikot FFM31). Dana simpan buat apa @finasmalaysia? Biar buta mata, jangan buta hati,” katanya.

Pengarah filem Mencari Rahmat, Al Jafree Md Yusop turut sependapat dengan Afdlin apabila menyuarakan pandangan mengenai perkara berkenaan menerusi akaun Twitternya.

“Saya berpendapat bajet untuk FFM31 digunakan bagi membantu warga filem yang semakin tertekan dengan keadaan sekarang. Dengan itu saya ambil keputusan untuk boikot,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, menyatakan objektif FFM31 adalah meletakkan filem Malaysia ke arena antarabangsa melalui ‘Road to Oscar’.

Bertemakan Inspirasi Senimaku : Tanpa Sempadan, sebanyak 28 kategori bakal dipertandingkan pada edisi kali ini.

Jika direalisasikan, penerima trofi Filem Terbaik bakal membawa pulang dana khas bagi menghasilkan sebuah filem yang menggandingkan pemenang kategori lain.

Finas sebelum ini turut bertegas, penganjuran FFM31 yang akan direalisasikan secara hibrid atau virtual berlandaskan amanah badan berkenaan untuk merangsang serta menyuntik semangat pengkarya, alasan sedemikian belum mampu meredakan gerakan boikot.

Pada masa sama, Finas turut menjalankan pelbagai usaha berterusan bagi membantu golongan sasaran semasa ke semasa. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI