“Boleh dikatakan kunjungan ke klinik meningkat lebih 50 peratus dan slot janji temu selalunya penuh setiap hari. Ada haiwan yang mengalami masalah kesihatan yang sangat ringan turut dihantar kepada kami.
“Mungkin ia disebabkan pemilik lebih banyak masa memantau haiwan jagaan secara lebih terperinci dan mereka mudah bimbang jika haiwan itu nampak tidak sihat, berbanding sebelum ini mereka sibuk di tempat kerja dan tidak sempat bawa haiwan ke klinik,” kata doktor haiwan, Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali. Beliau juga menjelaskan antara penyakit haiwan yang banyak dirujuk ialah masalah kulit, jangkitan bakteria, parasit, masalah hormon, selain kes melibatkan organ penting seperti jantung, buah pinggang dan kecederaan akibat kemalangan.
Salehatul Khuzaimah turut melihat trend memelihara haiwan eksotik meningkat pada musim pandemik disebabkan orang ramai ingin mencari kelainan selain didorong rasa bosan tinggal lama di rumah.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
GEMAR berjalan terkedek-kedek di dalam rumah, si kakaktua spesies Macaw bernama Mojo itu barang kali tidak sedar ia seekor burung.
Baru berusia empat bulan, Mojo sangat manja dengan tuannya, Shahira Rahim, 38, dan gemar bermain kotak tisu, bola rotan serta gegelung kecil yang memang disediakan khas untuknya.
Namun, baru-baru ini, sebelah kaki Mojo bengkak menyebabkannya sukar bergerak. Bimbang dengan keadaan itu, Shahira telah membawanya ke klinik haiwan berdekatan rumahnya di Shah Alam, Selangor untuk rawatan.
“Tetapi kaki Mojo tidak sembuh walaupun ubat yang diberi doktor sudah habis digunakan. Saya kemudiannya pergi ke klinik lain dan selepas empat hari, bengkak pada kakinya sudah surut dan ia boleh berjalan semula,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Selain Mojo, Shahira yang bekerja sebagai guru tadika turut mempunyai seekor hamster, seekor arnab selain dua ekor kucing. Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia juga hairan apabila mendapati hamsternya dinamakan Jojo kerap bersin.

Katanya, faktor bekerja dari rumah pada masa ini menyebabkan dia mempunyai lebih banyak waktu memerhatikan haiwan kesayangannya yang ditatang bagai minyak yang penuh seperti anak sendiri.
“Jika ada keperluan, saya akan pergi ke klinik pada hari biasa kerana lebih mudah mendapatkan slot janji temu. Namun, jika saya terpaksa pergi pada hujung minggu, saya lazimnya membuat tempahan dua minggu lebih awal kerana kebanyakan klinik telah menetapkan had tertentu jumlah kemasukan pelanggan ke dalam premis mereka.
“Semasa membawa Jojo ke klinik pada 10 Jun lalu, doktor memberitahu rupa-rupanya ia alah terhadap jenis serbuk kayu yang menjadi alas sangkarnya,” katanya.
Rutin harian Shahira kini juga banyak berkisar kepada kerja menguruskan haiwan misalnya bulu arnab dan kucing disikat setiap hari selain diberi makan vitamin hairball serta dititik ubat kutu.
“Burung kakaktua saya juga mandi setiap hari semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Sewaktu rutin kerja berjalan seperti biasa dahulu, selalunya saya dapat memandikannya pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.
“Saya bercadang jika pandemik berlarutan lebih lama, saya mahu memelihara kambing pigmi pula. Saiznya kecil dan amat suka bermain. Boleh hilang segala stres di rumah bila melayan kerenah haiwan itu,” ujarnya.
Cerita Shahira, beberapa tahun lalu dia pernah memelihara seekor burung bayan, namun kerana kurang diberi perhatian akibat kesibukan tugas menyebabkan ia menjadi garang dan agresif sebelum terpaksa diserahkan kepada rakannya yang pakar melatih pelbagai burung.
Dalam situasi semasa, penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja menyebabkan hospital dipenuhi pesakit manusia, malah slot janji temu di klinik-klinik haiwan turut penuh semasa PKP.

Seorang doktor haiwan yang bertugas di Kuala Lumpur dan Selangor, Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata, pemilik haiwan yang bekerja dari rumah semasa PKP lebih pantas mengesan sebarang perubahan dan simptom tidak normal haiwan jagaan mereka.
“Boleh dikatakan kunjungan ke klinik meningkat lebih 50 peratus dan slot janji temu selalunya penuh setiap hari. Ada haiwan yang mengalami masalah kesihatan yang sangat ringan turut dihantar kepada kami.
“Mungkin ia disebabkan pemilik lebih banyak masa memantau haiwan jagaan secara lebih terperinci dan mereka mudah bimbang jika haiwan itu nampak tidak sihat, berbanding sebelum ini mereka sibuk di tempat kerja dan tidak sempat bawa haiwan ke klinik,” katanya yang menjelaskan antara penyakit haiwan yang banyak dirujuk ialah masalah kulit, jangkitan bakteria, parasit, masalah hormon, selain kes melibatkan organ penting seperti jantung, buah pinggang dan kecederaan akibat kemalangan.
Salehatul Khuzaimah turut melihat trend memelihara haiwan eksotik meningkat pada musim pandemik disebabkan orang ramai ingin mencari kelainan selain didorong rasa bosan tinggal lama di rumah.
“Ini kerana, kajian mendapati mereka yang mempunyai haiwan kesayangan cenderung berasa lebih gembira dan kurang tertekan kerana ia boleh menjadi penghibur dan teman untuk meneruskan kehidupan dalam suasana norma baharu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi doktor haiwan, Dr. Koh Choo Yan berkata, beliau turut melihat peningkatan kes pesakit haiwan yang dirujuk di klinik miliknya yang mempunyai cawangan di Johor, Kedah dan Kelantan sehingga 40 peratus dan ada pelanggan khuatir haiwan mereka dijangkiti Covid-19.

“Ada pemilik haiwan yang mendakwa haiwan mereka mengalami simptom Covid-19 seperti sesak nafas tetapi setelah diperiksa ia tiada kaitan dengan jangkitan virus tersebut.
“Hal ini memperlihatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan haiwan meningkat dan mereka bukan saja datang ke klinik apabila haiwan jatuh sakit, malah mengambil langkah pencegahan seperti pengambilan vaksin, ubat kutu dan sebagainya,” ujarnya.
Bekas Penolong Pengarah dan Ketua Veterinar Zoo Negara, Prof. Madya Datuk Dr. Vellayan Subramaniam berkata, pada musim pandemik, lebih ramai pemilik haiwan di negara ini bersikap bertanggungjawab terhadap haiwan jagaan mereka.
“Ada juga pemilik haiwan yang mengadu tiada wang membiayai rawatan dan pihak kami telah beri perkhidmatan secara percuma untuk membantu mereka,” katanya.
Mengulas tentang adakah Covid-19 boleh disebarkan haiwan, beliau berkata, ia belum pernah dilaporkan di negara ini dan amat sukar berlaku kepada haiwan peliharaan.
Namun, dalam keghairahan mencuba hobi baharu memiliki haiwan eksotik, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memelihara haiwan primat seperti kera, ungka dan monyet di rumah.
“Ini kerana, ia berpotensi memindahkan penyakit kepada manusia antaranya seperti flu, influenza dan batuk kering, selain manusia sendiri boleh memindahkan penyakit kepada kumpulan haiwan tersebut,” ujarnya.














