fbpx
GAMBAR fail pada 27 September 2018 menunjukkan Moise berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. - AFP

Presiden Haiti, Jovenel Moise mati dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT-AU- PRINCE, Haiti – Presiden Haiti Jovenel Moise dibunuh di rumahnya awal pagi ini  oleh sekumpulan individu bersenjata, kata pemangku Perdana Menteri, Claude Joseph yang turut mengumumkan beliau mengambil alih pentadbiran negara.

Isteri Moise yang cedera berada di hospital, demikian, menurut Joseph. Beliau menggesa orang ramai bertenang dan menegaskan  bahawa pasukan polis serta tentera akan memastikan keselamatan penduduk.

“Presiden dibunuh di rumahnya oleh orang asing yang bertutur dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol,” kata Joseph.

Moise memerintah Haiti iaitu negara paling miskin di Benua Amerika menerusi dekri selepas pilihan raya legislatif yang dijadualkan pada tahun 2018,  ditunda berikutan perbalahan termasuk berhubung bila penggal pemerintahan beliau sepatutnya berakhir.

Selain krisis politik, kes penculikan bagi mendapatkan wang tebusan melonjak sejak beberapa bulan lalu. Situasi itu menunjukkan kumpulan penjenayah bersenjata semakin berkuasa di rantau Caribbean itu.

Haiti juga menghadapi kemiskinan teruk dan bencana alam yang berulang.

Mendiang berdepan banyak penentangan daripada rakyat yang menganggap mandatnya tidak sah. Pemerintahan Presiden tersebut menyaksikan tujuh Perdana Menteri dilantik dan berundur dalam masa empat tahun. 

Joseph pula sepatutnya diganti minggu ini setelah hanya tiga bulan memegang jawatan tersebut. – AFP