fbpx

Meninggal dalam penjara, keluarga dapat ganti rugi hampir RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebuah keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia di Penjara Tapah pada 2014 mendapat ganti rugi hampir RM300,000 atas kecuaian dan tuntutan tanggungan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Yaacob Md. Sam berhubung rayuan keluarga tahanan itu Kamarulnizam Ismail untuk mendapatkan ganti rugi tersebut.

Selain Yaacob, dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk M. Gunalan.

Dalam keputusan sebulat suara itu juga mahkamah turut memerintahkan pihak berkuasa (responden) membayar kos RM5,000 kepada keluarga Kamarulnizam.

Peguam M. Visvanathan yang mewakli keluarga mangsa ketika dihubungi media, mengesahkan perkara itu dan mamaklumkan mahkamah memberikan ganti rugi kecuaian sebanyak RM250,000 dan RM40,800 bagi tuntutan tanggungan.

Hari ini ditetapkan untuk keputusan taksiran ganti rugi yabg dibuat secara dalam talian melalui Zoom berhubung saman yang dikemukakan keluarga si mati.

Dalam prosiding hari ini Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md. Arshad, Andi Razali Jaya A. Dadi dan Mohd. Ashraf Abd. Hamid hadir bagi pihak responden iaitu polis, pegawai penjara serta kerajaan.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan RM100,000 kepada Rahaya Salleh, ibu Kamarulnizam sebagai ganti rugi bagi penahanan tidak sah dan RM50,000 bagi misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Pada Ogos 2019, Pesuruhjaya Kehakiman Anslem Charles Fernandis (kini Hakim Mahkamah Tinggi) memutuskan bahawa defendan bertanggungjawab atas kecuaian dan memberikan ganti rugi sebanyak RM100,000 atas penahanan tidak sah serta RM50,000 bagi salah guna kuasa dalam jawatan awam.

Sebelum itu, Mahkamah Majistret di Pulau Pinang menjatuhkan hukuman denda RM800 atau penjara 14 hari ke atas Kamarulnizam selepas dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1957 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Dilaporkan bahawa Kamarulnizam, yang bekerja di sebuah kilang gula di Pulau Pinang, memilih untuk menjalani hukuman penjara kerana memerlukan wang itu untuk memperbaiki kereta meskipun bapanya datang ke mahkamah untuk membayar denda. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI