KLANG – Kira-kira 680 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku yang telah dilucutkan hak diserahkan kepada Penjara Penor, Pahang, semalam.
Penyerahan itu membabitkan 34 karton daging kerbau sejuk beku dari negara India dianggarkan bernilai RM11,710.37 yang tidak mematuhi prosedur pengimportan melalui Pelabuhan Barat di sini.
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor dalam kenyataannya berkata, penyerahan produk itu membabitkan hasil rampasan sejak April lalu itu untuk dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di penjara yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia.
“Kesemua serahan itu adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang melalui proses lucut hak dibawah Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“Inisiatif ini diharap dapat membantu pihak berkenaan dari segi menyediakan bekalan sumber makanan kepada haiwan ternakan,” katanya.
Menurutnya, pihak Maqis sentiasa prihatin dalam membantu agensi yang memerlukan serta memastikan bekalan makanan haiwan yang diimport mencukupi.
“Dalam masa sama, Maqis akan terus memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dikawal,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














