HARAPAN pasukan Liga Super, Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA FC) untuk bersaing dalam kancah Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim 2021 mungkin masih belum terkubur sepenuhnya.
Ia susulan badan induk bola sepak Asia itu mengesahkan dua pasukan baharu dari Kemboja, Visakha FC dan Timor Leste, Lalenok United diserapkan secara automatik ke dalam Kumpulan I yang dihuni oleh TFC.
Menurut kenyataan AFC, kelab Visakha dan Lalenok United tidak perlu mengharungi aksi playoff seperti yang dijadualkan dan kini hanya menunggu lampu hijau untuk bersaing dalam Kumpulan I bersama TFC dan Geylang International.
“Jawatankuasa pertandingan AFC sudah membuat keputusan untuk memberi slot peringkat kumpulan secara automatik buat Visakha FC dari Kemboja dan Lalenok United dari Timor Leste selepas aksi playoff mereka dibatalkan.
“Kedua-dua pasukan ini akan menyertai peringkat Kumpulan I bersama kelab dari Singapura, Geylang International dan TFC dari Malaysia.
“Maklumat lanjut mengenai jadual serta venue perlawanan akan dimaklumkan oleh AFC dalam masa terdekat,” kata AFC selaku penganjur kejohanan dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, kejohanan ‘divisyen kedua’ peringkat kumpulan melibatkan zon Asia Tenggara sebelum ini bagaikan bergantung tidak bertali selepas AFC tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana negara untuk menjadi penganjur.
Ia susulan Singapura yang sepatutnya menjadi tuan rumah bagi saingan Kumpulan H dan Kumpulan I menarik diri ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara itu.
Selain TFC, skuad KDA FC turut menjadi wakil negara selepas mereka diundi dalam Kumpulan H bersama kelab Lion City Sailors (Singapura), Saigon (Vietnam) dan Persipuara Jayapura (Indonesia).














