fbpx
KAMERA analog masih menjadi pilihan sesetengah orang berbanding kamera digital di negara ini.

Elemen kejutan membuatkan kamera analog jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Bagi saya kamera analog ini ibarat pistol dan filem adalah pelurunya. Dengan hanya sekali ambil, gambar itu harus sempurna,” ungkap Mohamad Firdaus Mohd. Zaya, 32.

Berbeza dengan masyarakat kini yang lebih selesa merakam gambar menggunakan kamera digital yang lengkap mempunyai skrin untuk melihat semula bidikan gambar, tetapi tidak bagi Firdaus dan rakan-rakannya.

“Untuk melihat hasil gambar kamera ini, kita perlu memproses atau mencuci filem terlebih dahulu sebelum gambar dicetak. Itu akan memberi elemen kejutan,” terang pemuda itu yang merupakan seorang guru.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

 

SETIAP dua minggu sekali menjadi rutin Mohamad Firdaus Mohd. Zaya, 32, untuk keluar dengan membawa bersama kamera miliknya bagi merakamkan gambar.

“Sebelum melakukan aktiviti fotografi, saya akan mengkaji terlebih dahulu tentang penceritaan foto atau apa yang hendak saya sampaikan.

“Ini penting bagi membolehkan saya mendapatkan maklumat tentang subjek hendak dirakam selain memilih kamera format apa yang hendak digunakan seterusnya ke lokasi bagi memotret setiap momen di situ,” katanya yang bekerjaya sebagai seorang guru kepada K2 baru-baru ini.

Berbeza dengan masyarakat kini yang lebih selesa merakam gambar menggunakan kamera digital, tetapi tidak bagi Firdaus.

Pemuda tersebut lebih gemar mengguna pakai kamera analog yang menggunakan filem.

Sebelum kewujudan kamera digital, kamera analog merupakan kamera yang digunakan jurugambar untuk membidik foto.

Mungkin tidak ramai yang menyedari pada saat zaman kian berubah ini, masih ada komuniti yang terus mempertahankan kamera analog dan lebih cenderung menggunakannya berbanding kamera digital.

“Kamera analog ini ialah satu nostalgia kepada saya. Saya dilahirkan dan membesar sewaktu kamera ini masih digunakan. Ibu bapa saya sendiri menggunakan kemera jenis ini untuk merakam gambar ketika saya kecil,” jelasnya.

Kini, Firdaus sering menghabiskan masa bersama rakan-rakannya yang turut gemar menggunakan kamera analog bagi merakam gambar.

firdaus (depan, kiri) dan rakan-rakan yang sering keluar bersama untuk merakam gambar menggunakan kamera analog.

Kongsi Firdaus, hobinya dalam bidang fotografi bermula sejak tahun 2010 ketika menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) tetapi pada ketika itu dia menggunakan kamera digital.

Namun pada tahun 2011, dia mula beralih arah kepada kamera analog apabila menyedari kamera jenis itu memiliki elemen kejutan berbanding kamera digital.

“Jika kamera digital, kita boleh melihat hasil gambar yang dirakam dengan segera. Tetapi tidak untuk kamera analog kerana tidak memiliki skrin untuk berbuat demikian.

“Untuk melihat hasil gambar kamera ini, kita perlu memproses atau mencuci filem terlebih dahulu sebelum gambar dicetak. Itu akan memberi elemen kejutan,” terangnya.

Tambahnya, itulah juga yang membangkitkan nostalgia waktu kecilnya di mana dia perlu bersabar menunggu dan berasa teruja apabila dapat melihat gambar yang telah dicuci.

Dari aspek kamera, Firdaus menerangkan, proses teknikal penghasilan gambar di dalam kamera analog tidak sepantas digital selain ia memerlukan waktu yang tepat dari segi pencahayaan dan komposisi.

Kamera analog menggunakan filem sebagai medium memotret gambar dan segulung filem hanya mempunyai maksimum 36 keping gambar.

“Di sini membuatkan kita lebih berhati-hati untuk mengambil gambar. Banyak kriteria yang harus kita tekankan sebelum gambar dibidik.

KAMERA analog menggunakan filem sebagai medium bagi penghasilan gambar.

“Pada saya kamera analog ini ibarat pistol dan filem adalah pelurunya. Dengan hanya sekali ambil, gambar itu harus sempurna,” ungkapnya.

Tambah Firdaus, itu sedikit sebanyak mengasah kemahirannya merakam gambar selain menjadikan dirinya lebih peka kepada semua faktor persekitaran dalam menghasilkan gambar yang baik.

Tidak dapat dinafikan dalam segulung filem itu ada juga gambar yang diambilnya tidak menjadi namun baginya itu perkara biasa.

Tambah Firdaus, kamera analog ini mempunyai beberapa jenis antaranya format 120, format 135 dan juga format besar.

Berbanding kamera digital, apa yang unik juga tentang kamera analog ialah ia tidak memerlukan bateri khas yang perlu dicas semula untuk beroperasi.

Terangnya, bagi kamera analog yang dikeluarkan sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an, ia beroperasi secara kuasa mekanikal. Cuma, kamera analog yang dikeluarkan sejak tahun 1980-an menggunakan bateri biasa.

Kamera analog mempunyai pelbagai bentuk dan antara jenamanya ialah Leica, Sony, Nikon, Minolta, Hasselblad dan lain-lain lagi. Harga bagi kamera analog ini juga lebih murah berbanding kamera digital.

“Saya kini mempunyai lebih 10 biji kamera analog daripada pelbagai jenama. Antara model kamera analog kegemaran saya adalah Nikon FM2, Rolleiflex 120 dan Mamiya RB67.

“Kamera ini ada yang milik keluarga turun-temurun dan ada yang saya beli sendiri,” jelas Firdaus.

KHAIRIL berharap generasi muda tidak melupakan kamera analog.

Akuinya, semasa era pertukaran analog ke digital antara tahun 2005 ke 2016, agak sukar untuk mendapatkan stok filem disebabkan banyak kedai sudah menukar bisnes kepada kamera digital.

“Tapi sekarang penggunaan kamera analog semakin rancak apabila terdapat pengusaha gambar yang sudah kembali menjalankan perniagaan mencuci filem sama ada secara online atau mengusahakan kedai fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi individu yang masih menggunakan kamera analog, Khairil Faizi Abdul Majid, 59, berkata, sejak kecil lagi dia telah didedahkan dengan kamera analog.

“Ayah saya minat fotografi dan saya selalu mengikutinya merakam gambar. Bahkan, saya pernah curi-curi membawa kamera analog miliknya ke asrama sewaktu zaman sekolah,” kongsinya.

Kata Khairil, semasa melanjutkan pelajaran di England, dia juga kerap merakam gambar dengan kamera analog.

“Ketika belajar di England saya sudah mempunyai kemampuan untuk membeli kamera sendiri. Kamera analog pertama yang saya beli adalah Olympus Trip 35.

“Saya membesar dengan kamera analog dan saya juga pernah menggunakan kamera digital, tetapi kamera analog lebih dekat dengan jiwa saya dan sehingga kini saya gemar merakam gambar dengan kamera ini,” ujarnya yang berasal dari Kedah.

Khairil berkata, ‘kelebihan’ merakam gambar dengan kamera analog ini ialah kita tidak akan dapat melihat gambar dengan segera. Filem perlu dihabiskan terlebih dahulu sebelum ia dicuci untuk menghasilkan gambar.

“Bagi saya, apabila kita melalui proses ini, hasil yang kita dapat lebih daripada jangkaan. Apabila mendapat hasil lebih daripada dijangka, ia akan memberi kepuasan tersendiri. Sebab itu saya suka dengan kamera analog ini sekali gus lebih menghargai setiap gambar yang dihasilkan,” katanya.

Berbicara mengenai filem kamera analog pula, Khairil menjelaskan, sekitar tahun 1970-an, harga bagi segulung filem adalah sekitar RM7 dan kos cetakan adalah sekitar RM12 tetapi kini, harga bagi segulung filem adalah sekitar RM20 hingga RM30.

“Masih ada kedai yang menjual filem ini dan ia terhad. Harganya juga semakin mahal. Selain itu, filem ini juga boleh dibeli secara online,” katanya.

Khairil juga sering berkongsi pengalamannya menggunakan kamera analog dengan generasi muda masa kini.

“Saya ada membuat penerangan tentang kamera ini kepada generasi muda bagi membolehkan wujud kesinambungan seni fotografi analog di masa hadapan. Selain itu, saya juga mengajar cara memproses filem kepada generasi muda,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN